My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 21 March 2016

    Anugerah DFKL 2016 : Rezeki Kau, Aku, Kita






    Membolot dua kategori utama iaitu Aktor dan Aktres Pilihan pada malam kemuncak Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL2016) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu lalu, ternyata meletak pasangan berkenaan pada satu tahap yang setara dengan barisan pelakon popular tanah air. 

    Terkejut dan terharu, itu dua emosi yang terpancar di wajah Saharul dan Janna ketika diumumkan sebagai pemenang yang mendominasi DFKL2006 menerusi drama bersiri Kau, Aku, Kita. 

    Kemenangan tersebut merupakan hadiah penuh erti buat peminat yang tidak jemu-jemu menyokong perjalanan karier mereka dan cerita Kau, Aku, Kita memandangkan ia bukan drama yang disiarkan dalam slot popular seperti Akasia yang pada kebiasaannya lebih berpengaruh.

    Melihat kejayaan yang diraihnya, tidak salah untuk menyifatkan kehangatan Kau, Aku, Kita merupakan rentetan populariti yang dicetuskan hero kacak, Saharul Ridzwan, 27, melalui slot Akasia, Hati Perempuan.

    Meskipun mula dikenali dengan Hati Perempuan, keberkesanan lakonan Saharul dalam Kau, Aku, Kita sepertinya lebih terkesan dalam fikiran penonton sehingga anak kelahiran Kuantan, Pahang itu diangkat menjadi Aktor Pilihan DFKL2016.

    Saharul sebenarnya berbangga dapat menjadi sebahagian pasukan Kau, Aku, Kita yang menyaksikan pertama kali dia memegang watak komedi selepas sering digambarkan sebagai hero romantik dalam lakonan terdahulu.

    “Kategori Aktor Pilihan merupakan hasil undian penonton dan ini membuktikan kerja keras kami telah berjaya menawan hati peminat.

    “Saya bersyukur kerana malam ini rezeki berpihak kepada saya dan ia suatu penghormatan besar daripada peminat,” ujarnya yang menewaskan pelakon lain seperti Fatah Amin, Fahrin Ahmad dan Shah Jaszle menerusi kategori Aktor Pilihan.

    Ditanya tentang impak anugerah yang dimenanginya terhadap perjalanan kerjaya pada masa hadapan, Saharul terdiam seketika sebelum meluahkan jawapan. Kata Saharul, impiannya selepas ini adalah trofi pelakon terbaik pula. Katanya, niat melangkah masuk ke dunia seni adalah untuk mengasah bakat lakonan dan cuba mengutip sebanyak mungkin ilmu tentang selok-belok industri.

    “Saya memegang kata-kata beberapa orang pelakon senior seperti Sheila Rusly dan Zul Huzaimy yang berpesan agar jangan berlakon untuk anugerah.

    “Jika saya bagus, anugerah akan datang dengan sendiri. Saya tidak akan berhenti belajar dan semoga ini permulaan untuk lebih banyak pengiktirafan dalam industri,” jelasnya yang sangat berterima kasih pada JS Pictures, penerbit Kau, Aku, Kita kerana banyak membentuknya menjadi anak seni yang lebih berkualiti.

    Janna anggap cabaran Peminat Janna Nick memenuhi Dewan Merdeka, PWTC bagi memberi sokongan padu kepada artis kegemaran mereka. Si manis Janna Nick yang kini tersenarai antara heroin pilihan peminat tempatan pula menganggap kemenangannya sebagai Aktres Pilihan sebagai suatu cabaran besar untuk berusaha memberikan yang lebih baik dalam lakonan akan datang.

    Pemilik nama Nurul Jannah Muner, 21, itu mengakui ditimpa perasaan terkejut dan menggeletar sewaktu menerima trofi kemenangan. Dia tidak menyangka diundi peminat sehingga mampu menewaskan pesaing hebat seperti Zara Zya, Izreen Azminda dan Ayda Jebat.

    Di sebalik rasa bangga, Janna sedar, pencapaian yang diterima bukan alasan untuk mendabik dada atau mula meletakkan syarat tertentu untuk tawaran selepas ini. “Saya masih Janna Nick yang dahulu, tiada apa-apa perubahan kerana memenangi anugerah bukan suatu penanda aras untuk saya mula ‘demand’ tetapi lebih kepada meyakinkan khalayak bahawa trofi Aktres Pilihan itu benar-benar layak dengan lakonan saya.

    “Mungkin saya akan lebih selektif dalam soal skrip kerana saya tidak mahu kelihatan asyik membawa watak sama dan mendatar. Saya ingin peminat menyedari setiap penambahbaikan dalam karakter yang dibawa,” katanya lagi. 

    Ramai yang tahu selain berlakon, Janna kini sedang berjinak-jinak dalam bidang nyanyian dan sudah pun memiliki single bertajuk Mungkin Saja yang dilancarkan bulan lalu. Masih berpegang pada prinsip mencuba setiap peluang yang datang, Janna yakin mampu mengendalikan dua jalur seni berbeza.

    “Cara saya bekerja senang, mana yang ditawarkan lebih awal, akan didahulukan. Jika saya sudah terikat dengan komitmen lakonan, maka nyanyian perlu direhatkan buat seketika dan begitulah sebaliknya,” jelasnya yang dijangka akan tampil dengan album penuh penghujung tahun ini.

    Beralih kepada pelakon yang juga pemilik JS Pictures iaitu Sheila Rusly, resipi rahsia yang memantapkan lagi keserasian antara Janna dan Saharul adalah tidak perlu wujudnya cinta lokasi. 

    Sheila yang sudah lebih 30 tahun berpengalaman dalam industri meluahkan, dia memang tidak menggalakkan cinta lokasi dalam set penggambaran JS Pictures kerana tidak mahu mengganggu konsentrasi pelakon. Jalinan yang wujud antara Saharul dan Janna dibina atas dasar persahabatan dan itu sahaja yang membuatkan lakonan mereka dipercayai, sekali gus memikat hati penonton.

    “Apabila tiada emosi peribadi antara Saharul dan Janna, maka tiada sebarang perasaan malu-malu yang timbul apabila perlu berlakon bersama.

    “Mereka saling memahami, tahu apa yang perlu dibuat untuk menghidupkan watak dan tiada masalah untuk duduk berbincang bagi memberikan hasil terbaik,” jelas Sheila yang tersentuh melihat anak didiknya kini sudah boleh melangkah sendiri dan mengukir nama di mata umum.

    Secara keseluruhan, DFKL tahun ini berjaya menyerlahkan ramai muka baharu dalam industri dan diserikan dengan kehadiran pelakon senior. Gabungan pengacara iaitu Amyra Rosli, Fattah Amin dan Fizie Hot FM yang baru pertama kali diberi tanggungjawab masih boleh diterima walaupun kehadiran tiga pengacara diatas sebuah pentas sepertinya terlalu padat dan kelihatan sedikit bercelaru.
    Pada penganjuran akan datang, dua pengacara mungkin sudah memadai untuk menjayakan majlis anugerah berskala sederhana seperti DFKL. Lebih molek lagi, suntikan prestij diberi nilai tambah agar majlis pengiktirafan dalaman program siaran TV3 dan TV9 tersebut mampu kelihatan seperti anugerah sebenar dan bukan seumpama majlis makan sahaja.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Anugerah DFKL 2016 : Rezeki Kau, Aku, Kita Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top