My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 24 March 2016

    Rapat Tapi Bukan Bercinta


    Namanya kembali meraih perhatian ramai selepas menjuarai program realiti Gegar Vaganza musim kedua pada tahun lalu. Apatah lagi, dengan statusnya sebagai selebriti yang bergelar ibu tunggal pasti ramai lelaki ingin mendekatinya. 

    Terbaru, penyanyi Siti Nordiana (Nana), 33, tidak dapat mengelak apabila digosipkan bercinta dengan pengurusnya, Anas. Nana bagaimanapun, menafikan dia dan Anas bercinta. “Kami memang rapat tapi tidaklah sampai bercinta. Anas sudah lama menguruskan karier seni saya sejak bernaung di bawah pengurusan FMC lagi.

    “Namun, ada pihak mendakwa kami bercinta selepas nama saya kembali mendapat tempat di hati peminat. Sebelum menyertai Gegar Vaganza, tak ada pula gosip sebegitu timbul.

    “Selain Anas, saya ada pembantu peribadi wanita yang turut membantu menguruskan karier. Saya tidak mahu cepat melatah kerana sudah menjangka keakraban kami pasti disalah tafsir orang sekeliling,” katanya.

    Ditanya sama ada gosip itu merenggangkan hubungannya dengan Anas, Siti Nordiana menjelaskan, mereka tidak mampu menutup mulut masyarakat daripada terus berkata-kata. “Anas masih menguruskan kerjaya saya seperti biasa dan apabila saya sibuk memenuhi undangan persembahan, dia akan menjaga anak saya. Kami masih rapat seperti dulu,” katanya.

    Sambung Siti Nurdiana, dia belum bertemu calon sesuai bagi mengisi kekosongan hatinya. “Buat masa ini fokus saya adalah karier dan membesarkan anak tunggal saya, Rayyan,” katanya yang ditemui di sidang media Minggu Setiausaha di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Siti Nordiana pernah berkahwin dengan pelakon drama, Allahyarham Mohd Faizal Yusup pada 2006, tetapi bercerai tiga tahun kemudian. Pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamad Rayyan Nakhaie, 8.

    Tidak ‘demand’ bayaran

    Selepas bergelar juara Gegar Vaganza musim kedua, ada pihak mendakwa Siti Nordiana semakin demand soal bayaran. Tidak cukup dengan itu, ada khabar angin mengatakan Siti Nordiana hanya menjayakan persembahan eksklusif dan lumayan bayarannya. Mengulas perkara itu, penyanyi yang mencipta nama menerusi lagu Cinta Hanya Sandaran ini mengakui berasa terkilan.

    “Saya kesal kerana isu ‘demand’ dibangkitkan pihak yang mungkin tidak puas hati dengan saya sebelum ini.

    “Hakikatnya saya akan berbincang dengan pengurus peribadi setiap kali menerima undangan persembahan. Saya pasti bersetuju jika mampu melakukannya.

    “Tawaran menjayakan persembahan Minggu Setiausaha di Menara Kuala Lumpur misalnya, saya terima bukan sebab bayaran lumayan, tetapi ia datang lebih awal daripada yang lain,” katanya.

    Mengulas sambutan Minggu Setiausaha, Siti Nordiana terharu apabila diberi kepercayaan menjayakan persembahan itu selepas 16 tahun mencanai bakat sebagai penyanyi. Dia juga akan bergandingan dengan pengacara Dee pada sambutan Minggu Setiausaha yang berlangsung di Atmosphere 360 Revolving Restaurant, Menara Kuala Lumpur, jam 12 tengah hari dan 4 petang pada 27 April nanti.

    Antara penyanyi yang pernah menjayakan persembahan di restoran itu ialah Datuk Sheila Majid dan Alyah. “Salah satu impian saya adalah menjayakan sambutan Minggu Setiausaha dan tidak sangka ia jadi kenyataan. Maklumlah, bukan calang-calang penyanyi diundang menjayakan sambutan Minggu Setiausaha di situ.

    “Alhamdulillah, kali ini rezeki saya. Memandangkan ini persembahan pertama menghiburkan golongan korporat, saya sangat gementar.

    “Insya-Allah saya akan menyampaikan 15 lagu popular termasuk secara medley,” katanya.

    Maklumat lanjut menyaksikan Minggu Setiausaha bersama Siti Nordiana boleh diperoleh dengan menghubungi pihak Atmosphere 360 Revolving Restaurant.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Rapat Tapi Bukan Bercinta Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top