Muzik rancak alunan irama bhangra kedengaran agak kuat mengisi ruang pusat kecergasan Nurwin di Bandar Baru Bangi, Selangor. Kelihatan 11 wanita berada dalam barisan bersedia melakukan senaman pergerakan Masala Bhangra.
Sekali imbas ia seakan-akan tarian rancak Bollywood namun pergerakannya lebih pantas menggunakan keseluruhan anggota badan bermula kepala hingga kaki. Hampir 30 minit berlangsung mereka kelihatan masih bertenaga mengikut alunan irama sambil mulut menguntum senyum.
Menurut jurulatih Masala Bhangra, Shah Bariah Hussain, Masala Bhangra berasal daripada dua perkataan India iaitu masala bermaksud pedas manakala bhangra ialah tarian rakyat tradisional Punjab di India. Senaman ini membabitkan latihan kardiovaskular lengkap dengan langkah tari bhangra yang agak maskulin serta gerak tari Bollywood yang lebih feminin.
“Bagi yang pernah melakukannya senaman ini satu perjalanan bagi melontarkan ekspresi dengan membiarkan jantung bergerak laju pada masa sama langkah tari dipadukan penuh teratur. Senaman ini memberikan kelainan emosi dan inspirasi berbeza,” katanya.
Diasaskan oleh Sarina Jain, Masala Bhangra memberikan pembentukan keluruhan tubuh badan selain dapat membangunkan stamina. Pergerakan rancak dan tepat ini mampu membakar kalori sehingga 500 bagi setiap kelas bergantung kepada individu.
Tambahnya, Masala Bhangra berkesan untuk kecergasan minda sehingga kepada kelegaan otot kaki. Ini kerana setiap pergerakan memerlukan kaki dihentak kuat ke lantai. Secara tidak langsung ia mencabar keupayaan individu dalam bentuk berbeza.
Oleh kerana ia berasal daripada tarian tradisi masyarakat India, senaman ini memberikan rasa berbeza menerusi langkah tarian lantas menjadikan seseorang itu berperasaan gembira. Sehinggakan ada kalanya mereka berasakan menarilah sepenuh hati kerana tiada orang melihatnya.
Rumizah Kamis yang turut mempunyai sijil lengkap sebagai jurulatih Masala Bhangra mengakui, keistimewaan Masala Bhangra adalah pada muzik rancak Bollywood Bhangra yang diolah oleh Sarina Jain agar mudah dilaksanakan.
Terdapat pergerakan tertentu yang mendokong kepada tarian itu sendiri iaitu Gidda, Natraj Kick, Hot Tamale, Bhangra Groove, Balle Balle Knees dan Bhangra Kick. Setiap satunya diajar kepada peserta supaya mereka dapat melakukannya dengan baik.
“Walaupun setiap pergerakan nampak laju dan pantas, jika dilakukan dengan betul, ia tidak meninggalkan keletihan melampau. Bagi mereka yang ingin mencuba, jurulatih akan mengajar pergerakan secara teratur dan lengkap sebelum mereka boleh melakukannya sendiri,” katanya yang juga jurulatih zumba.
Tambahnya, jika dilihat Masala Bhangra mirip seakan-akan aerobik kerana ia mengajak individu menggerakkan semua anggota tubuh. Sepanjang sesi latihan, kepala, tubuh, kaki, bahkan jari tangan bergerak mengikuti irama muzik India yang penuh semangat. Tidak menghairankan jika keringat membasahi tubuh selepas mengikuti latihan Masala Bhangra selama satu jam.
Menurut Rumizah, selain membakar kalori dan meningkatkan stamina tubuh, jika dilakukan secara konsisten ia mampu menurunkan berat badan. Walaupun ia masih terlalu baru di Malaysia, senaman ini semakin mendapat tempat di hati peserta yang inginkan pergerakan senaman berbeza.
Apa kata peserta
Shuja Menon
“Saya mengenali Masala Bhangra sejak dua tahun lalu selepas mengikuti kelas anjuran pengasas Masala Bhangra Sarina Jain. Sebelum ini saya juga mengikuti zumba. Menariknya, Masala Bhangra pada muzik latar Bollywood rancak yang memberikan perasaan gembira. Tambahan pula saya sendiri penggemar filem Bollywood.
“Biasanya saya melakukan Masala Bhangra selepas pulang dari kerja selama satu jam. Saya menjadi lebih cergas kerana badan mengeluarkan peluh dengan banyak. Saya mencadangkan mereka yang rajin bersenam mencuba dan rasai keseronokannya.”
Fariza Mafuzah Johor
“Saya menjadi pengikut Masala Bhangra sejak 2014 dan mempunyai lesen jurulatih kecergasan pada 2015. Saya tertarik mengikuti tarian ini kerana pergerakannya yang pantas bersama alunan muzik Bollywood. Menariknya setiap kali memulakan pergerakan perasaan menjadi cukup berbeza, gembira dan berasakan kita berada dalam dunia sendiri.
“Selain memberikan kecergasan, latihan senaman ini menyebabkan berat badan saya menurun daripada 110 kilogram kepada 78 kilogram. Ia cukup menggembirakan saya. Pada mereka yang ingin mencuba jangan bimbang kerana mereka akan diajar untuk mendalami setiap pergerakan sehingga mampu menari bersama peserta yang lain.”
0 comments:
Post a Comment