MISI sukar menanti skuad bola sepak negara pada aksi pelengkap jadual peringkat Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Arab Saudi di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah awal pagi esok.
Apa tidaknya, Harimau Malaysia turun dengan misi besar bagi memulihkan maruah bola sepak negara yang sudah tercalar selain bakal berdepan sokongan ribuan penyokong tuan rumah yang pastinya mampu mengganggu fokus para pemain.
Jurulatih Malaysia, Datuk Ong Kim Swee mengakui tugas getir menanti skuad kendaliannya itu pada pertemuan tersebut, namun beliau optimis barisan pemainnya mampu mengatasi tekanan, sekali gus menyajikan aksi yang lebih menarik.
“Saya percaya perlawanan itu nanti akan menjadi satu perlawanan yang menarik memandangkan Arab Saudi merupakan sebuah pasukan yang kuat, namun saya menaruh kepercayaan pada pemain-pemain saya untuk menampilkan aksi terbaik.
“Perasaan bimbang itu sentiasa ada dalam setiap perlawanan dan sebab itulah kami perlu berada pada tahap terbaik untuk menghadapi perlawanan malam esok (awal pagi esok). Kami perlu ulangi aksi sama ketika bertemu mereka di Kuala Lumpur sebelum ini.
“Dari segi kekuatan, tidak dinafikan Arab Saudi memiliki kekuatan yang seimbang di setiap posisi dengan dibarisi pemain yang cukup berkualiti. Mereka juga mendapat motivasi tambahan menerusi sokongan padu penyokong sendiri,” kata Kim Swee ketika dihubungi semalam.
Ketika diminta mengulas ketiadaan dua pemain, S. Chanturu dan Fazly Mazlan yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan, Kim Swee percaya dua pemain yang menggantikan mereka, Nazrin Nawi dan Adam Nor Azlin mampu memikul tugas tersebut dengan baik.
“Ya, saya akui kecewa kerana tidak dapat gunakan khidmat mereka gara-gara kecederaan, namun kami sudah menggantikan mereka dengan dua pemain yang memiliki kemampuan sama serta bersesuaian dengan pasukan,” tambahnya.
Menjawab pertanyaan media asing yang mendakwa tindakannya memuji pasukan Asia Barat itu mampu memberi kesan negatif pada pasukan, Kim Swee dengan nada tegas membidas pertanyaan tersebut sambil menggesa wartawan itu menyaksikan sendiri perlawanan pada awal pagi esok.
“Saya fikir tidak perlu saya jelaskan lagi mengenai kekuatan pasukan Arab Saudi kerana mereka merupakan pasukan teratas dan tidak pernah tewas. Jika anda (media) tidak gembira dengan jawapan saya, tunggu selepas perlawanan esok (awal pagi esok),” tegasnya.
Malaysia menghuni tangga kedua tercorot Kumpulan A ketika ini dengan mengumpul empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan lima kalah, manakala Arab Saudi unggul di puncak kumpulan dengan 16 mata.
0 comments:
Post a Comment