My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 22 March 2016

    MESEJ Bunang Fasa II Terbakar Seluas 10 Ekar




    Kebakaran yang berlaku di sini pada musim kemarau yang berterusan turut melibatkan kawasan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Bunang Fasa II, kata Pegawai Daerah Yusop Osman, di sini. Katanya, seluas 10 ekar kawasan MESEJ Fasa II Bunang telah terlibat dalam kebakaran ini.

    “Saya difahamkan bahawa kawasan kebakaran ini telah melebihi 700 ekar meliputi kawasan hutan termasuk kebun-kebun perseorangan,” katanya di sini pada Jumaat lalu.

    Katanya, Pejabat Daerah ada menerima surat aduan dan perkara ini telah dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Daerah untuk tindakan lanjut. Yusop memberitahu, kebakaran harta awam hanya melibatkan kebun kelapa sawit dan getah dan tiada kemalangan jiwa yang berlaku.

    Katanya, anggaran kerugian masih belum dapat dipastikan dan jawatankuasa ini masih menunggu laporan daripada pemilik kebun dan daripada jabatan-jabatan kerajaan yang berkenaan.

    Menurut beliau, Jawatankuasa Bencana Daerah dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah telah melakukan operasi bagi mengawal, mencegah dan memadamkan kebakaran menggunakan helikopter.

    “Pihak jawatankuasa ini terpaksa menggunakan laluan udara memandangkan kebanyakan tempat yang berlaku kebakaran tidak mempunyai jalan raya selain merupakan hutan dan berbukit. 

    “Bagaimanapun, ada juga tempat-tempat yang mempunyai kemudahan jalan, pihak bomba menjalankan operasi darat,” katanya.

    Beliau menasihat para pekebun kecil dan orang awam tidak membuat pembakaran secara terbuka dan tidak membuang puntung rokok di kawasan-kawasan yang kering sewenang-wenangnya pada musim kemarau ini.

    “Pembakaran kecil-kecilan di kebun-kebun juga hendaklah dipadamkan dan tidak ditinggalkan tanpa pengawasan. Jika perlu minta nasihat Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah sebelum melakukan pembakaran.

    “Jika perlu minta anggota jabatan ini melakukan pemantauan semasa pembakaran dilakukan,” katanya. 

    Beliau juga meminta orang awam yang melihat kebakaran kecil berlaku di kampung-kampung hendaklah bergotong-royong memadamkan kebakaran sebelum anggota bomba tiba di tempat itu. 

    Yusop yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah mengingatkan semua ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan agar bersiap sedia menggunakan semua aset jabatan untuk tujuan memadam kebakaran dan penghantaran air bersih ke kampung-kampung yang terjejas bekalan air bersih.

    Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Mudi Pangiran memberitahu bahawa keluasan kebakaran melibatkan ratusan ekar melibatkan Kampung Bomboi, Ulu Damai, Mesej Bunang, Kampung Bunang Sook, Ansip, Biah, Tiulon Nabawan, Malampoi, Tigok, Jalan Sook Nabawan.

    Katanya, kemusnahan melibatkan ladang getah, kelapa sawit dan buah-buahan milik penduduk kampung dan juga salah sebuah agensi kerajaan di sini.

    “Kebakaran bermula sejak kemarau pada bulan Januari dan yang menjadi penghalang kepada jabatan ini ialah keadaan muka bumi yang berbukit-bukau dan tidak boleh dilalui oleh jentera jabatan selain itu masalah untuk mendapatkan bekalan air,” katanya. Mudi berkata, kerugian masih dalam siasatan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: MESEJ Bunang Fasa II Terbakar Seluas 10 Ekar Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top