My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 29 March 2016

    Filem Melayu Cetus Fenomena


    Sejak dulu, genre cinta cukup rapat dengan filem Melayu. Dari era Studio Jalan Ampas hinggalah hari ini, sudah tidak terhitung filem genre cinta diterbitkan. Namun, di tahun 2016 ini adakah filem cinta masih lagi relevan? 

    Filem Ombak Rindu arahan Osman Ali dan lakonan Aaron Aziz, Maya Karin dan Lisa Surihani pada 2011 adalah filem cinta ‘terakhir’ paling laris apabila mencatat kutipan RM10.9 juta.

    Malah, dalam senarai 30 filem tempatan paling laris yang dikeluarkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), selain Ombak Rindu, hanya tiga filem genre cinta yang tersenarai iaitu Sembilu 2, Nur Kasih The Movie dan Maria Mariana.

    Sembilu 2 yang diterbitkan Skop Production Sdn Bhd pada 1995 mencatat kutipan RM6. 1 juta dan Nur Kasih The Movie terbitan Primeworks Studios pada 2011 sebanyak RM4.9 juta. Maria Mariana terbitan Skop Production Sdn Bhd pada 1996 pula mengutip RM4.7 juta.

    Berdasarkan senarai filem yang ditayangkan tahun ini, lima filem paling laris bukan bertemakan cinta. Nampaknya perhatian penonton tempatan sudah beralih bukan kepada hanya satu aliran, tetapi beberapa genre berbeza.

    Ola Bola

    Filem yang mengangkat sukan bola sepak dan semangat perpaduan di antara masyarakat majmuk Malaysia ini juga mencatat jumlah kutipan tinggi RM16 juta. Siapa sangka, filem arahan Chiu Keng Guan itu berjaya mencuri perhatian dan mengajak penonton datang ke pawagam walaupun menampilkan pelakon baru sebagai teraju utama.

    Mat Moto: Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit

    Filem arahan Pekin Ibrahim ini turut mengejutkan industri perfileman tanah air apabila berjaya mencatat kutipan RM1.2 juta pada hari pertama tayangan. Walaupun gagal mencapai sasaran RM5 juta, Mat Moto tetap membanggakan apabila mencatat kutipan keseluruhan RM4.39 juta.

    Selain Pekin yang turut berlakon, Mat Moto membariskan nama-nama besar seperti Datuk Rosyam Nor, Zul Huzaimy, Faizal Hussein, Syamsul Yusof, Shaheizy Sam, Cat Farish dan ramai lagi.

    Polis Evo

    Filem lakonan hebat Shaheizy Sam dan Zizan Razak ternyata mencipta kelainan, sekali gus menjadi fenomena dalam industri perfileman tanah air apabila berjaya mencatat jumlah kutipan RM17.3 juta.

    Filem aksi arahan Ghaz Abu Bakar dan karya asal oleh produksi Astro Shaw iaitu Joel Soh, Kyle Goonting dan Anwari Ashraf itu berjaya mencatat rekod sebagai filem tempatan paling laris dalam sejarah perfileman negara. Ia berjaya mengatasi rekod yang sebelum ini disandang filem The Journey, juga terbitan syarikat sama yang meraih RM17.28 juta pada 2014.

    Munafik

    Buah tangan terbaru daripada pengarah dan pelakon Syamsul Yusof ini turut mencetus fenomena apabila mencatat kutipan RM17 juta dan masih lagi ditayangkan. Filem ini dijangka dapat mengatasi kutipan Polis Evo, sekali gus menjadi filem tempatan paling laris sebaik ia selesai tayangan dalam tempoh dua minggu lagi.

    Syamsul yang turut berlakon dalam filem ini berjaya membuktikan dia antara pengarah generasi baru paling berkaliber. Rata-rata penonton menggambarkan Munafik sebagai filem yang menjadi penanda aras untuk filem seram tempatan.

    Selain Syamsul, filem ini turut menampilkan lakonan Nabila Huda, Pekin Ibrahim, Sabrina Ali, Fizz Fairuz dan ramai lagi.

    Boboiboy The Movie

    Filem animasi kanak-kanak ini tanpa disangka turut mencetus fenomena apabila mencatat kutipan RM14 juta setakat ini. Filem yang menampilkan watak kegemaran kanak-kanak ini masih ditayangkan untuk tempoh dua minggu lagi.

    Fenomena Boboiboy The Movie terbukti apabila hampir seisi keluarga di negara ini mahu menontonnya, malah ada kanak-kanak yang menangis kerana tidak dapat menonton filem ini apabila tiketnya habis dijual.

    Filem terbitan Animonsta Studios dan edaran Primeworks Studios ini adalah adaptasi daripada siri animasi TV yang bukan sahaja menarik minat lebih satu juta penonton Malaysia, tetapi juga dari Indonesia.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Filem Melayu Cetus Fenomena Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top