My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 23 March 2016

    P Ramlee, Kelahiran Yang Tidak Mungkin Ada Galang Gantinya



    Pada tanggal 29 Mac 1929 sebaik sahaja selesai khutbah Hari Raya Aidilfitri pada tahun berkenaan lahirlah seorang bayi lelaki yang cukup menyinari kehidupan pasangan Teuku Nyak Puteh dan Che Mah Hussein. Bayi ini diberi nama Teuku Zakaria Bin Teuku Nyak Puteh. Akibat kesukaran kaum keluarganya menyebut nama Teuku Zakaria, bayi ini diber gelaran Ramlee supaya mudah untuk dipanggil.

    Dengan kelahiran ini bayi ini telah menyambung legasi anak kelahiran Lhokseumawe dari Acheh (ada yang mengatakan keturunan kerabat Acheh) dimana bayi ini turut mempunyai abang tiri yang bernama Syed Ali hasil perkahwinan dahulu Che Mah Hussein sebelum bertemu jodoh dengan Teuku Nyak Puteh.

    Hari demi hari tahun demi tahun, Teuku Zakaria membesar menjadi seorang remaja yang berbakat. Beliau memulakan pembelajaran di Sekolah Melayu Kampung Jawa. Kemudian beliau ke Francis Light English School sebelum melanjutkan pelajaran ke Penang Free School.

    Sewaktu dibangku sekolah, beliau dikenali sebagai seorang murid yang kemas dalam segenap aspek sehinggakan tulisan dan gaya bahasa beliau sentiasa mendapat pujian dari guru-guru yang mengajar di Penang Free School. Sewaktu pendudukan Jepun, beliau belajar di Japanese Navy School sebelum kembali ke Penang Free School setelah Jepun berundur dari Malaya.

    Jika masih ingat tentang filem Anakku Sazali, itulah gambaran sebenar bagaimana Teuku Zakaria berjinak-jinak dengan muzik. Beliau membuat kerja sambilan termasuk mengambil upah mengayuh sampan hanya semata-mata ingin membeli biola dan membolehkan beliau belajar muzik dengan seorang guru muzik biola di kampungnya.

    Sewaktu pendudukan Jepun, beliau pernah membuat pertunjukan pentas dan mengetuai 150 ahli muzik untuk menghiburkan hati Tentera Jepun yang menduduki Pulau Pinang pada ketika itu. Pada malamnya pula beliau menyertai kugiran Sinaran Bintang Sore sebelum menyertai Orkes Teruna Sekampung, sebagai pemain biola penyanyi dan penggubah lagu.

    Namun, keputusan beliau untuk menyertai satu pertandingan nyanyian bahagian utara (Kini dikenali sebagai Bintang RTM) di RTM mengubah segala-galanya. Pada penyertaannya ini, beliau memperolehi tempat ketiga pada tahun 1945 dan 1946. Namun pada tahun 1947 beliau akhirnya berjaya menduduki tempat pertama sebagai Bintang Penyanyi Utama Malaya.

    Sejak dari kejayaannya itulah nama beliau dan Orkes Teruna Sekampung dikenali di negeri-negeri utara Semenanjung. Beliau juga banyak menerima jemputan ke majlis-majlis keramaian akibat populariti yang beliau raih. Namun begitu, halangan utama beliau adalah masalah kewangan.

    Untuk mengatasi masalah itu, beliau banyak mengambil upah membuat persembahan di mana-mana persembahan hanya bertujuan untuk menyediakan kelengkapan dan pakaian untuk semua ahli kugirannya. Malah, pernah diceritakan, Teuku Zakaria pernah memakai sehelai baju kemeja yang koyak rabak dan hanya dilindungi oleh baju kot beliau sahaja.

    Pada ketika itu, nama kugiran Rayuan Asmara cukup dikenali dimana kugiran ini diketuai oleh Kasma Booty selaku penyanyi utama. Pada waktu itu Kasma Booty masih belum lagi menjadi pelakon dan isteri kepada pelakon hebat Malaya Allahyarham Datuk S. Kadarisman.

    Oleh kerana nama Orkes Teruna Sekampung semakin dikenali Ahmad C. B telah mencadangkan Orkes Teruna Sekampung dan Rayuan Asmara bergabung. Perkhabaran ini nyata disambut dengan penuh kegembiraan oleh Teuku Zakaria kerana, secara sembunyi, beliau turut mengkagumi kumpulan Rayuan Asmara.

    Pada satu pertunjukan, gabungan dua kumpulan ini cukup mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan inilah kali pertama Teuku Zakaria dipertemukan dengan Kasma Booty, pemilik suara emas pada zamannya. Disinilah, Teuku Zakaria diperkenalkan dengan saksefon yang pada ketika itu dimainkan oleh bapa tiri Kasma, Jaafar.

    Inilah sejarah ringkas seorang insan yang cukup istimewa yang pernah dan selalu hadir kedalam hati setiap anak Malaya dan Malaysia sehingga hari ini. Mungkin ramai yang tidak mengenali, siapakah Teuku Zakaria ini. Sebenarnya, inilah nama sebenar lagenda terulung negara, Allahyarham Tan Sri Datuk Amar P. Ramlee.

    Kenapa namanya bertukar menjadi P. Ramlee, bukan Zakaria atau P. Zakaria. Ini kerana, beliau mengekalkan nama gelaran waktu kecilnya yang lebih dikenali sebagai Ramlee. Manakala huruf P pula adalah untuk mengenang nama ayahandanya iaitu Puteh. Jadi untuk digunakan sebagai nama artis, P Ramlee dipilih supaya mudah di ingat dan dikenang oleh para peminatnya.

    Ternyata, pilihan nama P. Ramlee dan hasratnya untuk melihat para peminatnya terus mengenang nama beliau dengan mudah, hari ini sudah termakbul. Kini setelah 87 tahun kelahiran beliau, generasi yang langsung tidak pernah berjumpa dengannya masih bergelak ketawa dengan warisan filem terhebat yang pernah beliau hasilkan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: P Ramlee, Kelahiran Yang Tidak Mungkin Ada Galang Gantinya Rating: 5 Reviewed By: Unknown
    Scroll to Top