My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 24 March 2016

    Rasa Malu Pun Ada - Amelina


    Hujung tahun lalu genap setahun kemunculan semula Amelina, 42, di persada muzik tempatan. Ternyata, aura ratu dangdut ini tidak pernah pudar meskipun 15 tahun menyepi. Kehadiran Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin bukan sahaja menghidupkan kembali irama dangdut tanah air tetapi menjadi petanda genre itu masih digilai ramai. 

    Amelina yang popular dengan lagu Rindu tidak hadir dengan tangan kosong sebaliknya mempertaruhkan single terbaru berjudul Cinta Harus Seksi. Menariknya, lagu berkenaan menjadi pilihan syarikat Warner Music Indonesia untuk menjalani penggambaran video muzik di sana baru-baru ini.

    Menurut Amelina, peluang itu mengembalikan semula memorinya 15 tahun lalu menjalani penggambaran video muzik lagu Rindu. “Tidak pernah terfikir pun merakamkan video muzik di sana tetapi apabila ada peluang saya sangat bersyukur.

    “Saya sangat teruja apatah lagi lagu ini pertaruhan kemunculan semula saya. Terharu rasanya kerana masih diberi peluang seperti awal kemunculan dulu.

    “Sebenarnya saya tidak berharap dilayan sedemikian rupa. Saya sedar kedudukan saya namun mereka sangat menyokong dan menghormati saya,” katanya.

    Sambung Amelina, sepanjang penggambaran video muzik itu dia malu kerana sudah lama tidak melakukannya. “Pada usia begini rasa malu pula apabila perlu beraksi depan kamera. Apatah lagi model yang terbabit dalam pembikinan video muzik ini semuanya muda.

    “Seperkara lagi, semua kru orang baru dan saya tak pernah jumpa. Kekok jadinya,” katanya. Bagaimanapun, Amelina menyifatkan rakaman video muzik itu cukup istimewa kerana ia bakal menjadi hadiah kepada peminatnya di Malaysia dan Indonesia.

    Video muzik Cinta Harus Seksi dijangka siap bulan depan dan ia mendapat kerjasama syarikat rakaman Warner Music Malaysia dan Indonesia.

    Merendah diri

    Sepanjang tahun lalu, jadual kerja penyanyi lagu Asyik ini padat dengan undangan nyanyian dan menjayakan program hiburan. “Saya tidak mahu terlalu gembira. Semua ini ketentuan dan rezeki daripada Allah SWT. Apa yang saya lalui sekarang sama seperti awal kemunculan dahulu. Saya masih tertanya-tanya mampu atau tidak?

    “Saya juga tidak pernah menganggap diri bagus sebaliknya bersyukur kerana masih diterima baik peminat. Banyak atau sedikit yang diterima, ia rezeki anak-anak,” katanya.

    Jelas ibu kepada enam cahaya mata ini, pada awalnya dia tidak kuat berdepan dengan segala kritikan masyarakat. “Sejujurnya saya tertekan apabila kemunculan semula saya dipandang serong. Namun, setiap cacian dan hinaan saya jadikan pembakar semangat untuk terus melangkah.

    “Alhamdulillah, sehingga saat ini saya tahu di mana nak letak diri. Paling penting kena sentiasa beringat. Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong karier saya,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Amelina baru sahaja dilantik menjadi duta produk rambut D’Herbs selama setahun. Pelbagai aktiviti diatur antaranya siri jelajah produk itu di seluruh tanah air sehingga Jun ini.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Rasa Malu Pun Ada - Amelina Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top