My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 21 March 2016

    Bubar DUN Dalam Masa Terdekat

    BERJUANG: Jentera PBB PRN N.3 Tanjong Datu sedia berjuang demi memastikan kemenangan besar bagi Adenan (tengah).

    Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem memberi bayangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubar dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11). 

    Bercakap pada sidang media di Dewan Masyarakat Lundu di sini semalam, Adenan juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri memberitahu akan berjumpa dengan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berhubung pembubaran DUN.

    “Selepas ini, saya akan menasihatkan dan mencadangkan kepada gabenor untuk membubarkan dewan.

    “Selepas itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh pilihan raya,” katanya menambah manifesto BN akan diumumkan selepas pembubaran DUN.

    Tempoh bagi DUN Sarawak akan tamat pada 20 Jun 2016 dan daripada sudut undang-undang, Ketua Menteri akan menasihatkan Yang di-Pertua Negeri membubarkan DUN dan tarikh pilihan raya akan ditetapkan oleh SPR selepas pembubaran dewan.

    Adenan sebelum ini pernah mencadangkan kepada SPR supaya hari penamaan calon bagi PRN11 diadakan pada 18 April manakala hari pengundian pada 30 April.

    Pada sidang media itu, Adenan turut yakin Barisan Nasional (BN) mampu memang lebih daripada majoriti mudah pada pilihan raya nanti yang menyaksikan pasukan Adenan akan bertanding di semua 82 kerusi.

    “Menjelang hujung bulan ini, saya akan memuktamadkan senarai penuh calon BN dan mana-mana calon menggunakan lambang dacing pada pilihan raya nanti mereka adalah dalam pasukan saya,” ujarnya.

    Terdahulu, sebelum sidang media itu, Adenan juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merasmikan Majlis Pelancaran Jentera PBB N.3 Tanjong Datu PRN11 di dewan berkenaan. Majlis tersebut telah dihadiri seramai 1,000 lebih ahli-ahli PBB N.3 Tanjong Datu sebagai tanda sokongan padu mereka bagi memastikan kemenangan berganda Adenan sebagai calon di kerusi kubu kuat BN ini.

    Jentera PBB N.3 Tanjong Datu PRN11 akan diketuai oleh pengarah operasinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Ahli Parlimen Santubong.

    Sempena dengan majlis itu semalam turut diadakan pembentangan tiga kertas kerja mengenai ‘Peranan dan Tanggungjawab Jentera Dalam Memantapkan Isu Semasa’, ‘War Room’ dan ‘50 Prinsip dan Tindakan Ketua Menteri’.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Bubar DUN Dalam Masa Terdekat Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top