PEMAIN perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui sukar untuk menilai tahap permainan pemain China, Lin Dan yang meraih dua kejuaraan setakat ini iaitu Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Jerman dan Siri Super Premier Seluruh England minggu lalu.
Chong Wei menewaskan pemenang dua pingat emas Sukan Olimpik itu pada Terbuka China sebelum ini bagaimanapun tidak berkesempatan untuk membuat perhitungan kali yang ke-36 dengan Lin Dan apabila tewas pada pusingan pertama Seluruh England kepada pemain India, B. Sai Praneeth, Khamis lalu.
“Saya tidak boleh komen mengenai Lin Dan tetapi permainannya berada pada tahap terbaik dalam dua kejohanan ini. Memang sukar untuk kita menilai sama ada dia kini sedang berada di kemuncak prestasi. Saya memang membuat persiapan untuk menghadapinya tetapi tidak kesampaian.
“Saya harap kami boleh lakukan yang terbaik dan jangan fikir lagi kekalahan ini, cuma fikirkan dua kejohanan akan datang (Terbuka India dan Terbuka Malaysia),” kata Chong Wei kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Lin Dan selaku pemain ranking No. 4 dunia meneruskan aksi konsistennya apabila menewaskan Chou Tien Chen dari Taiwan untuk menjuarai Terbuka Jerman dan menumpaskan rakan senegaranya, Tian Houwei untuk meraih gelaran keenam pada Seluruh England.
Sementara itu, Chong Wei berkata, dia mahukan latihan lebih sukar menjelang dua kejohanan terdekat pada Terbuka India (29 Mac-3 April) dan Terbuka Malaysia (5-10 April) yang juga akan menjadi sebahagian daripada persiapannya menghadapi Sukan Olimpik Rio, Ogos depan.
“Saya akui ia bukan permainan terbaik saya pada pusingan pertama (Seluruh England) dan saya perlu lihat semula kelemahan untuk membuat persiapan menghadapi Terbuka India dan Terbuka Malaysia.
“Kami masih ada masa lima bulan lagi untuk menghadapi Sukan Olimpik. Masa yang ada akan digunakan sebaik mungkin dan saya akan kerap berbincang dengan jurulatih untuk membuat persiapan lebih sukar terutama berhubung aspek kecergasan dan kekuatan mental.
“Mungkin Olimpik tahun ini adalah Olimpik terakhir buat saya dan saya akan memburu impian saya pada temasya sukan terbesar itu. Ini peluang keempat saya beraksi di Olimpik dan saya harap boleh melakukan sesuatu yang lebih baik nanti,” ujarnya.
0 comments:
Post a Comment