Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sarawak akan membuat pemantauan terhadap perniagaan ‘ala gengster’ dalam industri peruncitan di negeri ini. Malah, KPDNKK tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang mengamalkan elemen gengsterisme dalam perniagaan.
Menurut Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Sarawak Ab Hafidz Ab Rahi, meskipun tiada laporan berhubung gejala itu berlaku di Sarawak, tetapi pihaknya akan terus menjalankan pemantauan.
“Setakat ini tiada laporan diterima, bagaimanapun kita akan terus melakukan pemantauan bagi mengekang kes (manipulasi) ini berlaku di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan Operasi Bersepadu di Pasar Besar Petanak di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Hafidz mendedahkan perkara itu sememangnya berlaku di sebuah negeri di Semenanjung. “Kita sedar mereka (peniaga) yang berniaga ala gengster ini sanggup bertindak kasar sehingga mengurung pembeli jika enggan membeli jualan,” jelasnya.
Justeru, katanya, KPDNKK menyarankan para pembeli membuat laporan sekiranya terdapat sebarang gejala perniagaan yang tidak beretika itu di negeri ini. “Kita akan memerangi kegiatan itu jika ia berlaku di Sarawak, dan kita akan mengambil tindakan tegas terhadap pesalah,” tegas Hafidz.
Sementara itu, mengulas berkenaan Ops Bersepadu yang diadakan bersama 10 agensi penguatkuasaan awal pagi semalam, beliau berkata sebanyak lapan kes direkodkan mengikut kesalahan di bawah akta agensi penguat kuasa berkaitan.
Menurutnya, KPDNKK mencatatkan tiga kes kerana melakukan kesalahan menggunakan alat timbang yang tidak disahkan. Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turut mengambil tindakan terhadap tiga warga Indonesia yang bekerja di pasar berkenaan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 11(7)(a) kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.
Selain itu, dua peniaga telah dikenakan kompaun oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) kerana berniaga tanpa lesen.
0 comments:
Post a Comment