My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 21 March 2016

    Lelaki Ditemui Mati Dengan Kesan Tikaman

    BANTU SIASATAN: Warga Indonesia yang berjaya ditangkap semula selepas melarikan diri ketika rumah pekerja yang didiami mereka diserbu polis semalam.

    Seorang lelaki ditemui mati dengan keadaan tangan terikat serta terdapat kesan tikaman di perutnya dipercayai dibunuh di sebuah rumah di kawasan Stapok di sini, semalam. Menurut sumber, mayat mangsa yang dalam keadaan posisi mengereng di bilik mandi dikenali sebagai Wong Chin Hee, 59, dan ditemui oleh rakannya yang tiba di rumah tersebut sekitar jam 11 pagi. 

    Difahamkan, semasa rakan mangsa tiba di tempat kejadian, dia mendapati kesemua pintu dan tingkap dalam keadaan berkunci. “Rakan mangsa pergi berjumpa mangsa sekitar jam 11 pagi dan ketika itu, dia mendapati pintu pagar serta pintu rumah berkunci menyebabkan dia terpaksa membukanya menggunakan kunci pendua.

    “Sebaik sahaja memasuki rumah berkenaan, rakannya itu terus mencari mangsa dan menemui mangsa di dalam bilik mandi di tingkat atas, berlumuran darah serta tangan terikat menggunakan tali pinggang,” kata sumber.

    Menurutnya lagi, rakan mangsa kemudian pergi ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan bantuan. “Pemeriksaan oleh anggota paramedik mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan turut menemui kesan tikaman di bahagian kiri perut mangsa,” katanya.

    Mangsa dan rakannya masing-masing berasal dari Sarikei dikatakan bersama-sama menyewa di rumah berkenaan dan bekerja di sebuah tapak pembinaan berdekatan.

    “Kali terakhir mangsa berhubung dengan rakannya melalui aplikasi WeChat pada jam 10.45 malam tadi (kelmarin),” kata sumber.

    Beberapa anggota serta pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan serta Unit Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak turut hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

    Siasatan awal juga mendapati telefon bimbit serta dompet milik mangsa turut dilaporkan hilang dan tiada kesan umpil pada tingkap serta pintu rumah berkenaan. Sementara itu, satu serbuan ke atas sebuah rumah pekerja di tapak pembinaan berdekatan telah dilakukan dan berjaya menahan seorang lelaki serta dua wanita dan seorang kanak-kanak warga Indonesia untuk membantu siasatan.

    “Semasa serbuan dilakukan, kira-kira 15 lelaki warga Indonesia bertempiaran lari, namun seorang daripadanya berjaya ditangkap bersama isterinya dan seorang lagi wanita bersama anak.

    “Soal siasat lelaki warga Indonesia tersebut mendakwa mereka melarikan diri kerana tidak mempunyai permit pekerjaan yang sah,” kata sumber.

    Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Ng Ah Lek yang turut hadir di lokasi kejadian mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu siasatan lanjut masih dijalankan.

    “Siasatan masih dijalankan dari semua aspek dan mayat mangsa akan dihantar ke HUS untuk bedah siasat,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Lelaki Ditemui Mati Dengan Kesan Tikaman Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top