Impian skuad futsal negara untuk mencipta sejarah dengan mara ke suku akhir Kejohanan Futsal AFC buat kali pertama, lebur selepas tewas 1-3 kepada Bahrain pada aksi terakhir Kumpulan A, semalam.
Skuad bimbingan Chiew Chun Yong yang membuka tirai kejohanan dengan bergaya apabila menewaskan Vietnam 2-1 sebelum kecundang 4-5 kepada tuan rumah, Taiwan kelmarin menamatkan saingan di kedudukan tercorot kumpulan.
Pada aksi sebentar tadi, anak didik Chun Yong yang memerlukan kemenangan untuk mengesahkan tempat ke suku akhir dikejutkan dengan jaringan awal Bahrain menerusi Ahmed Abdulnabi pada minit ketiga. Hanya empat minit kemudian, kealpaan pemain negara sekali lagi dihukum Ahmed apabila meledak gol kedua buat Bahrain hasil serangan balas.
Skuad negara cuba bangkit pada babak kedua dan berjaya merapatkan kedudukan menerusi rembatan deras Syed Aizad Daniel Syed Nasir pada minit ke-33. Ketika skuad negara bertungkus lumus melancarkan serangan untuk mencari gol penyamaan, Mohamed Al Sandi bagaimanapun meleburkan hasrat anak didik Chun Yong apabila menjaringkan gol ketiga Bahrain pada minit ke- 40.
Mengiringi Bahrain ke suku akhir adalah Vietnam yang muncul juara kumpulan selepas menewaskan Taiwan juga dengan 3-1.
Sementara itu, Chun Yong berkata, dua jaringan awal Bahrain menjadi punca anak buahnya terpaksa bermain di bawah tekanan dan gagal bermain seperti biasa. “Bahrain bermula dengan baik dan mendapat gol awal. Belum sempat pemain saya bangkit, mereka sudah meledak gol kedua. Kami bermula dengan baik di babak kedua dan menguasai permainan.
“Pertahanan Bahrain sangat baik sehinggalah kami menggunakan ‘power play’ dan mendapatkan gol, namun nasib tidak menyebelahi kami apabila Bahrain meledak gol ketiga pada minit akhir,” katanya.
0 comments:
Post a Comment