Selepas hampir tiga tahun pembikinan, akhirnya filem fiksyen sains tanah air, Amazing Titanman bakal menemui penonton di pawagam mulai 22 Februari ini. Filem arahan Eddie Tiger itu buah tangan kedua usahawan Jaguar Lim yang turut melakonkan watak utama dan selaku produser eksekutif.
Memaparkan penyiasat NASA dari Amerika Syarikat menjejak makhluk asing melawat bumi, filem ini pasti menghiburkan penonton kerana menyelit banyak babak melucukan. Menampilkan jalan cerita segar, Amazing Titanman turut menyampaikan beberapa mesej positif kepada penonton.
Pada sidang media baru-baru ini, Eddie memberitahu filem itu mengambil masa lama untuk disiapkan kerana banyak menggunakan kesan khas komputer. “Pembikinan Amazing Titanman bermula pada 2015 dan hanya selesai pada tahun lalu kerana mahu memberi hasil kerja yang memuaskan.
“Sepanjang tempoh itu, kami juga mengembangkan plot cerita dengan mengubah skrip,” katanya. Menurut pengarah itu, pada mulanya, penggambaran dilakukan tanpa skrip dan cuma berpandukan sinopsis.
“Barisan pelakon cuma beraksi dengan bersahaja. Dialog Jaguar juga sedikit kerana wataknya adalah makhluk asing berusia dua tahun. Saya percaya kalau pelakon dan orang produksi seronok, sesebuah karya pasti berjaya,” katanya.
Pelakon Rosa Chong ketika berkongsi pengalamannya mengakui agak terkejut apabila diberitahu wataknya tiada skrip. “Ketika ditanya pihak produksi mengenai persiapan yang perlu dilakukan, saya cuma diminta untuk hadir di lokasi penggambaran. “Berpandukan arahan pengarah, saya berlakon dengan santai dan seronok kerana ini kali pertama merasai pengalaman seperti itu,” katanya.
Bukan mencari publisiti Sementara itu, Amazing Titanman turut memaparkan beberapa babak Jaguar beraksi dalam keadaan separuh bogel. Memuji kesungguhan Jaguar dalam menjayakan filemnya, Eddie memberitahu idea tampil tidak berpakaian datang selepas perbincangan dengan pelakon itu.
“Pada asalnya Jaguar merancang membeli kostum adiwira di Jepun dan Amerika Syarikat, namun terpaksa membatalkan niat itu selepas mendapati harganya terlampau mahal. Dia kemudian mencadangkan supaya tidak berpakaian bagi babak makhluk asing turun ke bumi,” katanya.
Pengarah itu menganggap isu terbabit tiada masalah dan bukan sengaja dilakukan untuk meraih publisiti. “Lembaga Penapisan Filem tiada masalah dengan babak sedemikian dan hanya meminta produksi sunting satu dialog. Malah, Amazing Titanman juga akan ditayangkan di Hong Kong serta Taiwan bulan depan dan produksi sana juga tiada masalah,” katanya.
Dalam pada itu, Jaguar yang juga eksekutif produser Amazing Titanman menganggap babak separuh bogel sebagai seni. “Filem ini idea saya dan ingin menampilkan kelainan. Jadi, saya perlu beranikan diri dan tidak berasa malu,” katanya.
Jaguar berharap penonton dapat menerima baik filem terbabit yang akan ditayangkan sempena sambutan Tahun Baru Cina. Turut membintangi filem itu adalah Azman Hassan, Jordan Voon, Rosa Chong, Namewee dan model Iran, Mehrdad Razavi Mozart.
0 comments:
Post a Comment