Ireland bakal muncul sebagai negara pertama memiliki Perdana Menteri daripada golongan gay selepas parti pemerintah, Fine Gael memilih Leo Varadkar untuk mengetuai kerajaan baharu. Anak lelaki kepada seorang doktor India berusia 38 tahun itu akan menggantikan Enda Kenny sekali gus sebagai Perdana Menteri termuda Ireland.
Pencalonan Varadkar sebagai Perdana Menteri akan disahkan oleh Parlimen Ireland yang akan bersidang pada 12 Jun ini. Kemenangan beliau menandakan titik perubahan untuk Ireland, negara Katolik dan sosial konservatif dengan agensi berita Irish Times menyifatkannya sebagai 'harapan baru'.
Dalam ucapannya, Varadkar berkata, beliau 'gembira dan berasa rendah diri' di atas kemenangannya serta berterima kasih dengan sokongan kuat daripada Ahli-ahli Parlimen semasa berdepan dengan pencabar, Simon Coveney.
"Saya tahu ketika bapa saya mengembara sejauh 8,000 kilometer untuk menetap di Ireland, saya pasti dia tidak pernah bermimpi bahawa anaknya suatu hari membesar menjadi pemimpin negara itu.
"Walaupun terdapat perbezaan, anaknya diberi layanan sama dan dihakimi berdasarkan tindakan dan wataknya dan bukan asal usul atau identitinya," katanya sambil disambut dengan tepukan dan sorakan di Mansion House, Dublin.
Beliau mendedahkan mengenai pendirian seksnya beberapa bulan sebelum referendum pada tahun 2015 yang menjadikan Ireland negara pertama di dunia membenarkan perkahwinan sejenis. "Saya seorang lelaki gay. Itu bukan rahsia, tetapi bukan juga sesuatu yang semua orang perlu tahu," katanya semasa ditemu bual stesen penyiaran tempatan, RTE.
Varadkar yang merupakan ahli parti Fine Gael sejak remaja memenangi pemilihan pemimpin itu dengan 60 peratus undi berbanding satu-satunya pencabarnya, Coveney yang merupakan Menteri Perumahan dengan 40 peratus undi. Beliau meraih sokongan 51 daripada 73 Ahli Parlimen partinya berbanding 22 menyokong Coveney.
0 comments:
Post a Comment