My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 2 June 2017

    Adiwira Wanita Penyelamat Warga Eropah



    Sejak sekian lama, rata-rata penonton dan peminat filem adiwira disajikan dengan filem yang dimonopoli adiwira lelaki. Namun, filem terbaru Wonder Woman memecah tradisi sekurang-kurangnya sejak sedekad lalu apabila muncul dengan aksi adiwira wanita. 

    Watak yang pernah muncul dalam filem Batman vs Superman ini dikembangkan dalam bentuk yang mudah difahami oleh pengarah, Patty Jenkins. Watak yang dibawa pelakon jelita Gal Gadot berjaya memberikan jiwa kepada Wonder Woman atau Diana yang naif, namun penuh bersemangat menegakkan keadilan dan menghentikan peperangan.

    Kisah bermula di Themyscira, kerajaan kepulauan yang dihuni wanita dan penonton dibawa menyelami zaman kanak-kanak Diana sebelum dia sendiri tahu mengenai kuasa dimilikinya. Diana adalah anak kepada pemerintah kerajaan Amazon, Ratu Hippolyta lakonan Connie Nielsen dan menerima latihan mempertahankan diri daripada ibu saudaranya, Antiope (Robin Wright).

    Diana yang sentiasa bersikap ingin tahu mula meneroka dunia lain selepas melihat satu pesawat terhempas di perairan Amazon. Dari situ, dia mula mengenali lelaki bernama Steve Trevor (Chris Pine) yang bertugas sebagai perisik dan sedang berhadapan dengan Perang Dunia Pertama di Eropah. 

    Menganggap dalang utamanya adalah Dewa Peperangan bernama Ares, Diana meninggalkan Themyscira bersama Steve, sekali gus membantu menyelamatkan nyawa manusia di Eropah.

    Drama dan aksinya sangat seimbang. Perjalanan awal cerita tidaklah terlalu pantas, namun tidak juga membuatkan penonton bosan kerana setiap aksi Diana mampu membuatkan penonton tersenyum dan ketawa. Memandangkan Diana berasal dari dimensi lain dan dibawa ke zaman lain yang lebih moden, dia perlu mengadaptasi dirinya dengan persekitaran baru.

    Dalam satu temu bual bersama media antarabangsa, Gadot sendiri mengakui ia tidak terlalu sukar buatnya menjiwai karakter Diana atau Wonder Woman. “Saya mudah menyerap masuk ke dalam karakter Diana. Dia punya jiwa sama seperti manusia lain yang ada kalanya beremosi, sentiasa ingin tahu dan sayangkan orang lain.

    “Dalam pada membawa jiwa seperti manusia, dia juga punya kuasa sebagai dewi dan mampu bertarung dengan baik,” katanya.

    Walaupun ia filem berasingan, sekurang-kurangnya penonton mampu memahami asal usul watak Wonder Woman, sekali gus mengaitkannya dengan watak lain dalam legasi filem DC Extended Universe.

    Tidak dinafikan ada beberapa kekurangan dalam teknik Imej Janaan Komputer (CGI) dan kurangnya pengembangan watak Ares sebagai penjahat utama, namun semua itu tidak mengaburi kekuatan yang dipaparkan dalam filem ini.

    Melihatkan kritikan pengkritik filem antarabangsa, rata-rata memberikan kritikan positif kepada filem yang menelan belanja AS$149 juta (RM639.1 juta) ini. Di Malaysia, Wonder Woman mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula semalam.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Adiwira Wanita Penyelamat Warga Eropah Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top