Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri melabelkan juara 11 kali Eropah, Real Madrid sebagai pasukan pilihan menjelang aksi final Liga Juara-Juara pada awal pagi Ahad ini. Namun Allegri berkata, skuad bimbingannya itu juga optimis untuk membawa pulang trofi paling berprestij bagi kelab-kelab di Eropah dari Cardiff ke Itali.
Masih segar dengan kejayaan menjuarai Serie A dan Piala Itali, Juventus kini sedang mengintai untuk melengkapkan kejayaan trebel pada musim ini apabila mereka berdepan kelab gergasi Sepanyol tersebut.
Dua tahun lalu, Juventus tewas 1-3 kepada Barcelona dalam perlawanan akhir di Berlin ketika Allegri membuat penampilan pertama bersama The Old Lady yang mana ia menjadi kekalahan keenam sepanjang aksi final Juventus dalam kejohanan berprestij Eropah itu.
Real yang menjulang trofi itu pada 2014 dan musim lalu, telah menewaskan musuh tradisi, Atletico Madrid untuk layak ke pentas final tahun ini. “Kami optimis tetapi agak janggal untuk saya mengatakan Juventus adalah pasukan pilihan kerana Real telah memenangi dua kali trofi Liga Juara-Juara sepanjang tiga tahun lalu.
“Real sudah biasa bermain pada perlawanan akhir seperti juga kami tetapi kami perlu menerima hakikat bahawa mereka adalah pasukan pilihan,” katanya. Ketika ditanya perbandingan skuadnya ketika menentang Barcelona dan Real, Allegri mengakui skuadnya kali ini lebih mantap.
“(Pasukan ini) lebih meyakinkan sejak (tewas kepada Barcelona) di Berlin. Kami menjadi lebih kuat,” jelasnya.
0 comments:
Post a Comment