Lubnan mengharamkan penyiaran filem blockbuster Hollywood ‘Wonder Woman’ kerana pelakon utamanya Gal Gadot pernah berkhidmat sebagai tentera rejim Zionis. Keputusan itu mencetuskan debat hangat di media sosial dengan segelintir rakyat menyelar pengharaman manakala sebahagian lain memujinya sebagai menunjukkan pendirian dalam kempen memencilkan Israel.
Akibatnya, poster promosi filem Wonder Woman di Beirut terpaksa diturunkan serta-merta. Seorang pegawai Keselamatan Awam Lubnan memberitahu AFP, kementerian dalam negeri memutuskan ‘melarang penyiaran filem ini berdasarkan saranan Pejabat Boikot Israel Liga Arab.’
Tidak kurang yang mengkritik keputusan itu. Seorang blogger, Elie Fares menuduh kerajaan tidak konsisten kerana pernah menyiarkan filem lakonan Gal di Lubnan sebelum ini.
“Kerajaan tiba-tiba bangkit dari tidurnya dan menunjukkan pendirian dengan cara ini, pada hal filem ini sudah diumumkan penyiarannya sejak tiga tahun lalu. Sepatutnya kita dibiarkan memilih sendiri. Jika kamu ada masalah dengan isi kandungan filem, pelakonnya atau apa saja, mudah saja. Jangan menontonnya,” katanya.
Setakat ini, Lubnan satu-satunya negara Arab mengharamkan Wonder Woman yang akan ditayangkan di Mesir, Algeria serta Tunisa lewat bulan ini.
Lubnan dan Israel secara teknikal masih berperang dan Liga Arab mengekalkan pejabatnya di Damsyik yang bertanggungjawab menyelaraskan pemulauan terhadap negara Yahudi itu di peringkat serantau.
Kementerian ekonomi dan kebudayaan Lubnan yang memantau pemulauan terhadap produk Israel di dalam negara menyarankan filem itu diharamkan selepas memohon pejabat Liga Arab mengeluarkan perintah seumpama itu terhadap semua filem lakonan pelakon berusia 32 tahun itu.
Gal yang seperti kebanyakan golongan muda Israel diwajibkan menyertai program kerahan tenaga dan pernah menyuarakan sokongan terhadap tindakan Israel menyerang Hamas di Semenanjung Gaza.
0 comments:
Post a Comment