Kesukaran untuk bergerak kerana mengalami masalah pada kaki menyebabkan lelaki warga emas maut selepas gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran kedai runcit di Kampung Jangkar, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 7 malam, Edward Otoi, 80, ditemui rentung di depan kedainya selepas operasi pemadaman kebakaran selesai.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.50 malam sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lundu dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, kedai runcit yang dibina dengan struktur kayu itu terbakar keseluruhan dan saksi mendakwa ada lelaki yang juga orang kurang upaya (OKU) terperangkap di dalam premis berkenaan. “Operasi pemadaman mengambil masa 12 minit itu menemui lelaki terbabit rentung di pintu depan kedai runcit berkenaan.
“Mangsa dipercayai berusaha keluar bagi menyelamatkan diri dari premis berkenaan namun gagal kerana api marak menyebabkan dia terperangkap,” katanya.
Menurutnya, mayat lelaki terbabit diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Lundu untuk bedah siasat dan diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian. Katanya, pasukan forensik kebakaran masih mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami.
0 comments:
Post a Comment