Maybank Islamic Bhd memperuntukkan modal permulaan sebanyak RM10 juta bagi Waqaf Perak Ar-Ridzuan (WPAR) yang dilancarkan pada awal April tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Datuk Muzaffar Hisham berkata, sumbangan kepada WPAR merangkumi jumlah RM5 juta yang akan digunakan untuk pembinaan asrama pelajar Universiti Islam Sultan Azlan Shah dan wakaf tunai am sehingga RM5 juta daripada orang ramai.
“Kami menyasarkan untuk mencapai sasaran RM5 juta daripada orang ramai dalam tempoh dua tahun di mana sistem Maybank2u kami sudah dilengkapi dengan keupayaan menerima sumbangan awam,” katanya selepas pengumuman sumbangan wakaf RM10 juta di sini, semalam.
Menurutnya, antara ciri-ciri unik wakaf tunai adalah ia bertindak sebagai geran padanan di mana bagi setiap RM1 yang disumbangkan oleh orang ramai melalui portal perbankan dalam talian Maybank2u, Maybank Islamic akan menambah RM1 lagi.
Muzaffar berkata, wakaf adalah antara pelaburan yang berpotensi yang boleh dibangunkan untuk membiayai pelbagai aktiviti ekonomi, membantu membangunkan penjagaan kesihatan dan pendidikan bagi manfaat masyarakat.
“Fokus utama kami melalui konsep ini adalah untuk membangunkan sektor kesihatan, pendidikan dan ekonomi. Malah, kami berharap dapat menjalin kerjasama dengan lebih banyak pihak lagi selepas ini,” katanya.
Menurutnya, inisiatif ini dijangka dapat meningkatkan agenda bank memasukkan unsur kemanusiaan dalam perkhidmatan kewangan melalui kaedah yang mampan dan menyokong komitmen kerajaan ke arah meningkatkan kewangan Islam.
“Kewangan Islam dilihat sebagai pemangkin yang berpotensi untuk meningkatkan akses kepada kewangan, terutamanya mengurangkan kemiskinan dan menggalakkan keusahawanan dan instrumen pengagihan semula yang unik seperti wakaf yang tepat untuk memenuhi agenda ini,” katanya.
Maybank Islamic menyasarkan untuk menjadi pemangkin utama dalam membangun dan meluaskan konsep wakaf, dengan saiz aset sebanyak RM161.1 bilion sehingga 31 Mac tahun ini.
0 comments:
Post a Comment