Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan rombakan Kabinet kali ketiga yang menyaksikan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Noh Omar kembali menyertai kerajaan.
Beliau dilantik sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala Datuk Abdul Rahman Dahlan mendapat portfolio baharu sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi mengetuai Unit Perancang Ekonomi.
Abdul Rahman menggantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar yang membuat keputusan untuk tidak meneruskan tempoh sebagai Senator yang tamat pada bulan ini dan meneruskan khidmat sebagai Menteri di JPM.
“Ini akan mengukuhkan lagi pentadbiran sedia ada bagi memastikan agenda pembangunan kerajaan untuk rakyat iaitu pembangunan ekonomi kebajikan dan keselamatan terus berjalan dengan baik sebagaimana yang telah dijanjikan,” katanya pada sidang akhbar rombakan Kabinet di Perdana Putra di sini semalam.
Najib melakukan rombakan Kabinet kali pertama pada 25 Jun 2014. Beliau kemudian membuat rombakan kali kedua pada 28 Julai 2015 yang menyaksikan pelantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan.
0 comments:
Post a Comment