Kerajaan komited melaksanakan konsolidasi fiskal ke atas kewangan tahun ini dalam menghadapi cabaran semasa ekonomi global yang tidak menentu. Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pertumbuhan ekonomi dunia dijangka lebih perlahan dari 3.4 peratus kepada 3.2 peratus seperti diunjurkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), sekali gus memberi impak kepada ekonomi domestik.
“Namun begitu, kerajaan komited meneruskan langkah konsolidasi fiskal dan defisit fiskal negara dijangka dapat dikurangkan kepada 3.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini.
“Malah, kerajaan akan terus mengoptimumkan perbelanjaan dan menyusun semula projek pembangunan mengikut keutamaan manakala kementerian dan agensi dikehendaki melaksanakan perbelanjaan yang lebih berhemat,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Ahmad Husni berkata, perbelanjaan lebih berhemat itu termasuk penyusunan semula program dan projek mengikut keutamaan, pengurusan pengambilan penjawat awam serta tiada pewujudan unit atau institusi baharu.
“Pelantikan perunding luar juga tidak dibenarkan kecuali bagi projek berteknologi tinggi yang memerlukan kepakaran khusus,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan akan terus melaksanakan projek pembangunan berimpak tinggi seperti Mass Rapid Transit (MRT), LRT dan Lebuhraya Pan Borneo yang mempunyai kesan pengganda besar kepada ekonomi.
“Kerajaan juga akan terus melaksanakan projek yang memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya serta memantau secara rapi perkembangan ekonomi domestik dan melaksanakan inisiatif merancakkan sektor eksport, industri pelancongan serta meningkatkan pelaburan dan penggunaan swasta,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Husni berkata, usaha meningkatkan pelaburan serta penggunaan swasta antaranya mengurangkan halangan bukan tarif dalam kalangan negara ASEAN serta meningkatkan akses pasaran secara agresif seperti di India, Timur Tengah dan Eropah Timur.
0 comments:
Post a Comment