My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 14 June 2016

    Bersenam Sebelum Berbuka



    Jelas kegembiraan pada setiap wajah ibu atau digelar bonda ini tatkala melakukan senaman ringkas sebelum berbuka puasa. Mereka semua melakukan pergerakan mengikut arahan jurulatih tanpa sedikit pun rungutan walaupun sudah berusia 60 tahun ke atas. 

    Jelas sekali apa yang dibayangkan - warga emas di rumah orang tua hanya tidur tanpa melakukan sebarang aktiviti meleset sama sekali. Keadaan yang berbeza dirasai penghuni Pusat Jagaan & Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah, di Bangi Selangor apabila setiap masa diisi dengan perkara berfaedah bagi membudayakan aktiviti khatam al-Quran.

    Menurut tenaga pengajar Darul Insyirah Husna Muhamad Zamani, kebiasaan orang ramai lebih meraikan Aidilfitri dengan mengadakan sambutan secara besar-besaran. Namun di sini budaya ini ditukar dengan memeriahkan sambutan Ramadan dengan pelbagai aktiviti keagamaan, biar mereka ternanti-nantikan Ramadan dan berusaha melakukan sebanyak mungkin amal ibadat serta membaca al-Quran.

    Jelas Husna, aktiviti tadarus al-Quran dilakukan setiap hari tanpa mengira masa. Malah setiap warga emas atau mesra dipanggil bonda mempunyai jadual membaca al-Quran sendiri agar masing-masing tahu setakat mana pembacaan mereka.

    “Untuk itu saya menggalakkan setiap bonda menghabiskan satu juzuk sehari pada Ramadan agar di penghujungnya mereka dapat menyudahkan 30 juzuk al-Quran. Ini boleh dilakukan memandangkan semua bonda di sini berada dalam keadaan sihat. Inilah masa mereka membaca kalam Allah sebanyak mungkin bagi mendapat keberkatan Ramadan,” katanya.

    Bagi mengisi masa, setiap tahun Darul Insyirah menyediakan kelas seperti sirah, bahasa Arab, adab sepanjang berpuasa dan mengumpul pelbagai hadis. Ia bermula pada waktu pagi dan berakhir dengan solat Tarawih berjemaah pada malamnya. Malah aktiviti keagamaan ini tidak dikhususkan kepada penghuni Darul Insyirah saja sebaliknya dibuka kepada komuniti setempat.

    “Memang ramai komuniti hadir untuk bersama-sama warga emas mengikuti aktiviti yang diadakan. Ia bukan saja dapat memeriahkan suasana tetapi juga merapatkan hubungan di antara penghuni Darul Insyirah dan masyarakat setempat,” katanya.

    Selain itu mereka juga dibawa berbuka puasa di masjid pada Sabtu dan Ahad seterusnya melakukan solat Tarawih bersama-sama. Sekurang-kurangnya mereka yang ditinggalkan di sini tidak berasa sunyi atau teringatkan keluarga. Jelas Husna, bagi memberikan kesegaran selepas melakukan amal ibadat, sebelum berbuka puasa mereka ditunjukkan senaman ringkas dengan melakukan pergerakan tangan dan badan.

    “Orang tua biasanya lebih banyak duduk daripada bergerak. Ini menyebabkan mereka tidak cergas. Menerusi jurulatih yang ditugaskan dua minggu sekali mengajar cara bersenam, mereka dapat melakukannya sendiri setiap hari. Ia secara tidak langsung membantu melancarkan pengaliran darah, memperbaiki pernafasan dan mengurangkan masalah sakit lutut serta sendi,” ujarnya.

    Teruja belajar dan menumpang kasih 

    Seorang komuniti yang tinggal di kawasan berhampiran, Maznah Mamat, 65, mengikuti kelas pengajian bahasa Arab, tadarus al-Quran dan Tasawuf pada awal tahun ini. Pada usia sebegini dia sememangnya tercari-cari peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah.

    Apabila Darul Insyirah membuka ruang kepada komuniti untuk sama-sama mengikuti pembelajaran di sini dia sangat teruja. “Saya ibarat menumpang kasih dengan semua bonda di sini. Usia yang sama memudahkan kami berkomunikasi antara satu sama lain. Kami juga berbual perkara yang sama. Inilah peluang untuk saya mendalami ilmu agama dengan lebih mendalam sebagai persediaan menemui Allah. Memang saya sangat tenang di sini,” ujarnya.

    Menjelang Ramadan Maznah juga tidak melepaskan peluang mengikuti semua kelas yang diadakan setiap hari selain berazam untuk khatam al-Quran. Dia yang bertugas di Kementerian Pelajaran dan bersara tiga tahun lalu mengakui oleh kerana semua anak sudah besar kini dia mempunyai banyak masa untuk mengikuti aktiviti yang diadakan di sini.

    Ia sesuatu yang sangat mulia, berfaedah dan jarang dibuat di rumah orang tua lain. Bagi Sharifah Abu Hassan, 67, dia sendiri meminta untuk tinggal di sini memandangkan Darul Insyirah berbeza dengan rumah orang tua yang lain. Pada mulanya anak tidak mengizinkan kerana bimbang pandangan masyarakat yang menganggap mereka tidak mampu menjaga ibu.

    “Tetapi saya jelaskan kepada mereka saya hanya tinggal lima hari di sini. Mereka boleh bawa saya pulang ke rumah pada hujung minggu (Sabtu dan Ahad). Akhirnya mereka bersetuju,” katanya yang sudah dua kali berpuasa bersama bonda yang lain.

    Menurut Sharifah sejak dua tahun lalu dia seakan-akan merindui majlis ilmu yang diadakan sepanjang Ramadan. Setiap hari masanya terisi dengan aktiviti keagamaan seperti membaca tafsir al-Quran, belajar ilmu fiqah, bahasa Arab, tasawuf dan tadarus al-Quran. Malah ada hari tertentu dia berkunjung ke surau berhampiran untuk belajar tajwid.

    “Saya sangat bersyukur dan berasa bertuah kerana dapat menghabiskan sisa-sisa hidup dengan mendalami agama. Ia sesuatu yang sangat memberikan kesan ke atas diri saya terutama pada setiap kali kedatangan Ramadan kerana dapat khatam al-Quran,” katanya yang mempunyai lima orang anak.

    Perkara yang sama turut dipersetujui bonda Mariam Mustaffa, 83, yang berasal dari Sungai Petani Kedah. Dia yang mengetahui mengenai Darul Insyirah menerusi rakan terus menyatakan hasratnya untuk tinggal di situ kepada anaknya. Kali pertama menyambut Ramadan di sini bagi Mariam ia suasana yang cukup menyeronokkan.

    Ini kerana semua penghuni mempunyai matlamat sama iaitu memperbaiki amalan dengan memperbanyakkan solat sunat, mempelajari agama dan membaca al-Quran. “Saya rasa bertuah menjadi salah seorang daripada sembilan penghuni di sini. "

    "Setiap hari saya mengikuti kelas agama kemudian membaca al-Quran dan memperbanyakkan zikir. Malamnya kami solat Tarawih berjemaah kemudian bangun untuk solat Tahajud. Jiwa terisi dengan semua aktiviti sepanjang Ramadan. Jika di rumah sekali pun belum tentu kami dapat istiqamah melakukannya,” ujarnya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Bersenam Sebelum Berbuka Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top