Sekitar tahun 90-an, figura bernama Fauziah Latiff cukup dikenali dengan kehebatan lagu-lagu meruntun jiwa yang memberi kenangan tersendiri buat pendengarnya. Kehebatan lontaran vokal wanita bernama Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff, 45, ini membuatkan ramai peminat merindui suaranya biarpun sudah lama tidak mengeluarkan karya baharu.
Namun, penantian penuh sabar itu terbalas pada tahun ini apabila Fauziah Latiff yang mesra disapa Jee akhirnya bersetuju kembali memeriahkan industri seni suara tempatan.
“Setiap kali peminat bertanya dan meminta, bila mahu keluarkan single terbaharu, saya hanya mampu tersenyum dan mengucapkan Insya-Allah kerana pada waktu itu, belum berjumpa dengan lagu yang betul-betul saya suka.
“Alhamdulillah, selepas enam tahun menunggu karya yang mampu mencuit hati, single Takdir Cinta bakal menjadi permulaan baharu buat saya untuk kembali aktif,” ujarnya ketika sesi fotografi di The Westin Hotel, baru-baru ini.
Takdir Cinta
Bukan mudah untuk memujuk Jee kembali menyanyi dan itu diakui sendiri oleh tuan punya badan. Bukan kerana mahu meninggi diri atau sekadar jual mahal tetapi jika ingin membuat kemunculan semula, biarlah dengan satu produk yang benar-benar gah.
Menurut Jee, sudah agak lama penerbit, Fadzil Teh, individu yang bertanggungjawab memujuk dirinya menyanyikan lagu Takdir Cinta bertanya bila beliau akan muncul dengan single baharu. Setelah sering cuba mengelak dan menolak, pelantun lagu Setia Ku Korbankan itu akhirnya tewas jua kerana tidak dapat menafikan kemerduan melodi ciptaan Sharon Paul dan keindahan lirik tulisan Fedtri Yahya.
“Fadzil memberitahu lagu ini akan menjadi runut bunyi original drama terbitannya, Seindah Takdir Cinta dan berkeras mahu saya yang menyanyikan lagu tersebut. Saya bersetuju apabila mendengar melodinya dan berasa ini adalah detik terbaik untuk permulaan semula dalam karier nyanyian,” katanya yang mengakui berdebar ketika sesi rakaman kerana sudah lama tidak menjejakkan kaki ke studio rakaman.
Tambahnya lagi, selama tiga hari merakam lagu tersebut, beliau meminta waktu sehari untuk sesi memanaskan suara dengan menjerit dan mencuba pelbagai nada agar peti suaranya tidak terkejut sewaktu menyanyi.
Saat diusik adakah beliau jatuh cinta dengan lagu ini kerana ia mempunyai kaitan dengan sejarah hidupnya, anak kelahiran Pontian, Johor, itu hanya tertawa manja sambil berkata, hal tersebut sudah menjadi satu skeptikal khalayak sejak zaman 90-an lagi.
“Saya tidak menafikan memang sedikit sebanyak ada juga terselit kisah peribadi, namun ia bukan spesifik untuk saya seorang tetapi semua insan akan melaluinya. Apa yang boleh saya lakukan ialah cuba menyampaikan lagu ini sebaik mungkin dengan harapan emosinya akan menyentuh jiwa pendengar,” tuturnya lagi.
Cinta dan puasa
Beralih kepada kisah cinta Jee yang penuh rahsia dan sukar ditafsirkan, ibu tunggal kepada dua anak teruna serta-merta menyimpul senyuman penuh makna. Sudah hampir dua tahun rasanya berita pernikahan wanita ini digembar-gemburkan namun hari bahagia yang dinanti tetap menjadi satu misteri tidak terungkai.
Kata Jee, bukan sengaja mahu melambatkan hal yang baik atau cuba menyorok apa-apa daripada peminat namun beliau juga masih mencari-cari tarikh sesuai untuk pernikahannya. “Sepatutnya memang pada tahun ini, saya dan dia (teman lelaki) bercadang untuk bernikah tetapi kami berdua masih mempunyai beberapa hal yang belum dibereskan.
“Doakan sahaja agar dia benar-benar jodoh saya dan hari itu (perkahwinan) akan terjadi dalam masa terdekat,” tambahnya yang kelihatan sedikit terbuka berbicara soal hati kali ini. Dalam pada itu, sepanjang bulan Ramadan, Jee memberitahu beliau banyak menghabiskan masanya di kampung menemani ibunya, Ngaisah Ahmad.
Kesempatan tersebut sekali gus turut memberi beliau peluang berehat daripada kesibukan kerja. Jelas wanita yang lembut tutur katanya itu lagi, jika berada di kampung, beliau hanya menjadi Siti Fauziah. Bukan seorang selebriti atau dikejar-kejar oleh peminat. Hal demikian yang membuatkan Jee suka menghabiskan masa di kampung halaman.
Selain itu, beliau juga dapat menziarahi kubur arwah bapanya, Sheikh Abdul Latiff, dengan lebih kerap. “Puasa dan raya memang mendatangkan kesayuan dalam hati kerana saya mempunyai keluarga yang kecil. Kakak berada di Singapura, ayah pula sudah tiada. Jadi, kebanyakan masa hanya tinggal ibu dan saya berdua.
“Sehingga kini, saya masih terkenang arwah ayah kerana dia adalah tulang belakang saya sejak mula bergelar penyanyi. Dahulu dialah pengurus dan pembantu peribadi sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2006,” ujarnya lagi sambil pandangan jauh dilontarkan dalam lamunan.
0 comments:
Post a Comment