Pengurus Portugal, Fernando Santos meminta pemainnya supaya terus mengekalkan semangat juang menjelang perlawanan terakhir Kumpulan F Euro 2016 walaupun mencatat keputusan mengecewakan seri tanpa jaringan menentang Austria, awal pagi semalam.
Portugal melakukan 23 percubaan ke arah pintu gol Austria di Paris dan enam berjaya menemui sasaran tetapi sekali lagi gagal meraih tiga mata selepas Cristiano Ronaldo terlepas peluang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-79.
Nani juga mempunyai peluang namun tandukannya terkena tiang pada separuh masa pertama, apabila Portugal mengawal keseluruhan perlawanan dan kini mereka hanya mengumpul dua mata daripada dua perlawanan.
“Kami kini melalui saat sukar tapi harus menukar taktik dengan segera. Kami tidak boleh berputus asa, ia tidak membantu. Keputusan seri memang tidak adil tapi tiada gunanya membincangkan perkara seperti ini. Kami tidak boleh menumpukan perhatian kepada peluang yang sudah terlepas dan berapa banyak peluang berkenaan.
“Kami harus kembali positif dan terus bekerjasama untuk perlawanan seterusnya. Ini adalah perlawanan ‘akhir’ pertama untuk Euro,” kata Santos.
Selepas seri 1-1 menentang Iceland pada perlawanan pembukaan, Portugal sekali lagi melepaskan peluang berharga dan kekalahan kepada pendahulu kumpulan, Hungary Rabu ini akan menyaksikan kejutan penyingkiran. Bagaimanapun, Santos percaya pasukannya mampu memberikan aksi terbaik dan terus mengorak langkah ke depan di Perancis.
“Perlawanan bertemu Iceland tidak begitu hebat tapi ia sederhana, cukup untuk sekadar mencatat kemenangan. Jika kami gagal ia menjadi satu lagi peluang untuk ke depan dan hari ini (semalam) satu lagi aksi positif dipamerkan.
“Kami berjaya melakukan percubaan mengenai palang pada separuh masa pertama dan kedua. Statistik tidak mempunyai sebarang nilai, adil atau tidak ia satu perkara yang akan dipertikaikan. “Kami perlu beraksi dan menang kerana dari situ akan membuatkan pasukan ini semakin meningkat dan itu saja yang diperlukan sekarang,” katanya.
0 comments:
Post a Comment