My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 30 June 2016

    Noh Pilih Kekal Dasar Sebelum Ini


    Teruskan dasar sedia ada yang diluluskan menteri sebelum ini selain memberi tumpuan kepada usaha mengatasi masalah kemiskinan bandar dan isu perumahan rakyat. Itu misi ditetapkan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang baharu Tan Sri Noh Omar. 

    Noh berkata, beliau melihat banyak perkara dan dasar baru yang diperkenalkan mantan menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan sebelum ini mampu untuk mengatasi dua isu itu. Beliau berkata, kementeriannya juga akan memastikan rakyat yang menetap dibandar dapat hidup selesa dengan tumpuan utama diberikan untuk mengatasi masalah kemiskinan di bandar.

    “Kami akan mencari jalan untuk meringankan beban mereka (miskin bandar) menerusi dasar dan langkah yang sudah diputuskan sebelum ini.

    “Bagi isu perumahan rakyat pula, saya melihat penubuhan Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam Negara (3PAN) adalah langkah tepat untuk menyelenggara isu dihadapi Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis nota serah tugas antara beliau dan Datuk Abdul Rahman Dahlan di sini, semalam.

    Katanya, sebaik akta mengenainya dibentangkan kelak, ia akan memudahkan Kerajaan Persekutuan menguruskan isu perumahan terbiar selain memberi pembelaan terhadap isu-isu penyelenggaraan di PPR seluruh negara.

    Noh berkata, selama ini, kerajaan negeri bersikap lepas tangan dalam menangani pelbagai isu yang timbul di PPR termasuk masalah penyelenggaraan lif dan taman permainan dan rekreasi. Menurutnya, beliau yakin dengan dasar yang sudah diperkenalkan itu selain percaya ia akan dapat memberi pembelaan kepada golongan miskin bandar dan masalah perumahan yang sering menjadi isu utama rakyat.

    “Saya difahamkan, sebanyak 15 projek PPR akan dibangunkan tahun ini dan berharap ia mampu mengatasi masalah perumahan dihadapi rakyat,” katanya. Terdahulu, pada majlis sama, Abdul Rahman turut diraikan dalam satu majlis perpisahan dikenali ‘Paluan Berundur’ yang dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Pada majlis itu, Abdul Rahman menerima kawalan hormat daripada anggota bomba dan penyelamat sebelum beredar meninggalkan bangunan kementerian.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Noh Pilih Kekal Dasar Sebelum Ini Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top