My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 21 June 2016

    Waktu Terbaik Berhenti Merokok


    Seronok juga sesekali mendengar perbincangan perokok tegar mengenai isu berhenti merokok. Ramai yang bersungguh-sungguh mempertahankan tabiat yang sudah sebati dengan diri itu. Ada juga yang mengaku pernah cuba untuk berhenti, tetapi tidak berjaya menepis godaan nikotin. 

    Seorang rakan doktor pada awal kerjayanya juga merokok. Rupanya dia antara perokok hebat ketika di sekolah menengah dulu kerana menghisap 40 batang rokok sehari! Namun segalanya berubah apabila mengetahui isterinya hamil. Dia mengambil keputusan berhenti kerana tidak mahu anaknya melihat dia merokok.

    Ramadan 16 tahun lalu memudahkan laluannya untuk bebas daripada belenggu rokok. Setiap kali timbul keinginan merokok, dia segera mengalihkan perhatiannya dengan mengingat anak yang bakal dilahirkan.

    Rupanya anak juga boleh menjadi penguat azam seorang doktor yang lebih arif mengenai bahaya dan kesan asap rokok kepada kesihatannya untuk berhenti. Rakan kedua, berhenti merokok lapan tahun lalu selepas lebih 20 tahun menjadi perokok tegar. Fatwa ulama yang mengatakan merokok itu haram menguatkan semangatnya untuk benar-benar menjadi individu bebas rokok.

    “Walaupun sudah lapan tahun berhenti, tetapi sampai sekarang keinginan untuk merokok masih ada terutama apabila bertemu rakan perokok. Berulang kali saya katakan pada diri sendiri, kalau saya merokok kali ini, saya tidak akan berhenti sampai bila-bila,” katanya ringkas.

    Kisah kejayaan orang berhenti merokok bukan cerita baru, malah ia sudah terlalu kerap diulang. Apa yang hendak diulang kembali di sini ialah kesungguhan seseorang berhenti merokok dan bagaimana bekas perokok melawan desakan hati untuk ‘menikmati’ asap rokok yang sudah puluhan tahun masuk ke dalam badan mereka.

    Memang diakui bukan mudah untuk berhenti merokok. Ada orang boleh berhenti mendadak begitu saja, ada pula yang berulang kali mencuba namun belum berjaya. Ini bukan soal kehendak dan kekuatan semangat semata-mata. Kebergantungan seseorang perokok terhadap nikotin juga menjadi antara faktor utama yang boleh menggugat usaha untuk berhenti merokok.

    Kerana kebergantungan kepada nikotin inilah, perokok boleh mengalami gejala sarak iaitu sekumpulan gejala akibat pemberhentian secara mengejut bahan psikoaktif yang diambil dalam tempoh lama kerana ketagihan.

    Antara gejala itu adalah kegelisahan, mudah marah, hilang kesabaran, tidak boleh tidur makam dan sukar untuk menumpukan perhatian. Keinginan dan ketagihan terhadap nikotin ini jugalah yang menyebabkan perokok akan segera mencapai kotak rokok mereka apabila tiba waktu berbuka kadangkala beberapa minit selepas makan.

    Memahami bagaimana nikotin mempengaruhi fikiran juga boleh membantu usaha ke arah bebas rokok. Ramai perokok tahu, Ramadan waktu terbaik untuk berhenti merokok. Sepanjang berpuasa, perokok boleh menahan diri selama lebih 12 jam dengan tidak merokok. Ini bermakna mereka sebenarnya mempunyai semangat yang cukup kuat untuk tidak menyentuh rokok.

    Tidak mustahil, dengan adanya sebab yang kuat dan kukuh, impian untuk berhenti merokok boleh direalisasikan. Bagi yang sudah bertekad, anda boleh mencuba beberapa panduan untuk membantu perjalanan ke arah hidup yang lebih sihat.

    1. Tetapkan tarikh untuk berhenti merokok, jika tidak anda akan sentiasa bertangguh. Lebih elok kalau dapat dilakukan sekarang supaya Aidilfitri ini anda akan jadi orang yang ‘merdeka’ daripada rokok.

    2. Tulis sebab mengapa anda mahu berhenti merokok. Adakah kerana anda mahu memperbaiki kualiti kesihatan (dan hidup secara keseluruhan), menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak atau melindungi keluarga daripada kesan asap rokok? Tujuan ini akan mengukuhkan lagi keazaman anda untuk bebas daripada cengkaman rokok.

    3. Menyedari untuk berhenti, anda perlu berusaha. Usaha ini bukan satu atau dua kali. Perjuangan untuk berhenti merokok juga bukan mudah. Anda juga perlu tahu gejala yang bakal dilalui pada peringkat awal berpisah dengan rokok. Kini ada banyak kaedah untuk membantu anda mengatasi ketagihan nikotin.

    4. Cuba lakukan kerja yang menyukarkan anda untuk merokok seperti mencuci kereta, bersenam atau berenang. Kalau timbul desakan hati untuk merokok, cuba bertahan sekejap selama seminit. Ada kemungkinan keinginan itu berkurangan dan sambung seminit lagi. Ini adalah latihan untuk mengukuhkan keazaman dan hati anda.

    5. Buang bekas pemetik api, bekas rokok atau apa saja barang berkaitan rokok untuk mengurangkan keinginan yang tidak sihat itu.

    6. Jangan cepat mengalah. Kalau orang lain boleh berhenti merokok, anda juga boleh. Memang ia bukan mudah, justeru dapatkan sokongan dengan mengunjungi mana-mana klinik berhenti merokok di seluruh negara.

    Cuba bersedekah

    Teringat penulis pada satu video klip yang dikongsi rakan melalui WhatsApp, bagaimana seorang pendakwah Indonesia bernama Abdullah Gymnastiar memberi panduan berhenti merokok dalam ceramah agamanya. Kata-katanya lucu, tetapi menusuk ke dalam fikiran. Walaupun ceramah ini sudah agak lama, pada Ogos 2011, tetapi isinya masih relevan.

    Katanya, rokok itu benda yang amat aneh. Manakan tidak, ia terbukti boleh meningkatkan risiko mendapat pelbagai penyakit berbahaya seperti kanser paru-paru, penyakit jantung, mati pucuk dan bermacam lagi tetapi orang tetap menghisapnya.

    Baginya, perokok juga termasuk dalam kategori insan ‘aneh’ kerana walaupun sudah tertera secara terang-terangan di kotak rokok tertera ancaman kesihatan dengan gambar penyakit yang mengerikan, mereka tetap setia menyedut dan menghembus asap rokok puluhan kali sehari. Dia mencadangkan cara yang agak praktikal untuk berhenti merokok.

    Caranya, setiap kali anda ada keinginan untuk merokok, ambil duit (jumlah yang sama dengan harga sekotak rokok) dan masukkan duit berkenaan dalam mana-mana tabung derma termasuk tabung di masjid dengan niat sedekah.

    “Sambil itu, berdoalah bersungguh-sungguh supaya dipermudahkan usaha untuk berhenti merokok. Berdoa dalam suara yang terang dan jelas pun tidak mengapa, untuk memberi perangsang kepada diri sendiri,” katanya.

    Menurutnya, berdasarkan pengalaman orang yang mengikuti kelasnya, cara itu berkesan. Pun begitu, desakan untuk merokok pasti dirasai dalam tempoh beberapa hari pertama. Cadangan itu memang menarik kerana dalam usaha memperbaiki diri, kita dapat bersedekah. Orang yang bersedekah dijanjikan ganjaran rezeki berlipat ganda, apatah lagi dalam Ramadan.

    Siapa tahu, antara rezeki yang akan anda peroleh ialah dipermudahkan usaha untuk berhenti daripada meracuni diri sendiri. Menjadi individu bebas rokok itu sendiri adalah satu nikmat yang besar kerana anda bukan saja dapat meningkatkan kesihatan diri, malah turut melindungi seisi keluarga.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Waktu Terbaik Berhenti Merokok Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top