Anggota masyarakat perlu menghargai dan menyayangi diri masing-masing bagi mengelak pelbagai masalah dalam kehidupan, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid.
Menurutnya, individu yang menjadi gelandangan mungkin tidak menyedari nilai dirinya kepada masyarakat kerana kurang kesedaran terhadap penjagaan diri, khususnya dari segi mental dan emosi.
“Ramai gelandangan memilih untuk menjalani kehidupan sebegitu kerana masalah diri atau keluarga dan ada pula yang mempunyai masalah mental.
“Saya berharap semua pihak memberi kerjasama dalam menangani isu ini bukan sahaja untuk membantu golongan gelandangan menempuh hidup selesa dan lebih bermakna, tetapi juga bagi mengelak mereka daripada menyakiti orang lain akibat tertekan dengan masalah masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program bersahur bersama bekas gelandangan di Desa Bina Diri dekat sini awal pagi semalam. Jainab juga berkata masalah gelandangan di Sabah, khususnya melibatkan warganegara, adalah terkawal dan tidak seserius yang disangkakan.
Bagaimanapun, beliau berharap ramai pihak tampil membantu kerajaan menangani masalah itu daripada bertambah teruk dengan memberi sokongan moral dan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menyayangi diri sendiri.
“Kementerian saya juga sedang membuat kertas kerja dan cadangan mengenai bagaimana untuk menangani golongan yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan kanak-kanak jalanan dan akan menyerahkannya kepada Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pengurusan untuk mengkaji cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin di Sabah),” katanya.
Terdahulu, Pergerakan Pemuda UMNO Kota Kinabalu, yang dipimpin ketuanya Mohd Bahrin Abd Karim, bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri mengagihkan makanan kepada gelandangan di sekitar Kota Kinabalu.
Mohd Bahrin berkata program yang pertama kali dianjurkan pergerakan itu akan menjadi program berterusan, khususnya pada setiap bulan Ramadan, agar gelandangan dapat dikenal pasti dan seterusnya dirujuk kepada badan berkaitan agar usaha kebajikan dapat diberikan.
“Pada masa akan datang, kami mengalu-alukan lebih ramai pihak turut serta bersama kami dalam program ini supaya kita dapat membantu dan menangani masalah gelandangan di Kota Kinabalu dengan serta merta kalau boleh,” katanya.
Mayor Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai, yang turut serta dalam program itu, berkata DBKK sentiasa bersedia membantu golongan gelandangan ini agar mereka memahami bantuan yang diberikan atas dasar kasih sayang. “Kita mesti faham keadaan mereka. Mereka juga insan dan kebanyakan mereka jadi begitu kerana masalah sosiologi.
“Kita mesti beri mereka kasih sayang kerana kita hormat kepada mereka. Mungkin cara ini boleh menarik mereka kepada keinsafan dan mereka boleh kembali kepada masyarakat,” katanya.
Menurut Yeo, terdapat lebih kurang 30 gelandangan di sekitar Kota Kinabalu, selain 16 orang yang ditempatkan di Desa Bina Diri di mana mereka diberi pelbagai kursus agar boleh hidup berdikari kelak.
Sementara itu, Jainal Nasip Undog, 68, yang ditemui di Lintasan Deasoka di sini memilih untuk menjadi gelandangan sejak beberapa minggu lalu kerana tidak mempunyai keluarga yang mempedulikannya lagi. Beliau mengakui mempunyai rumah di Tuaran, tetapi tidak senang tinggal bersendirian dan sanggup tinggal di jalanan kerana terdapat gelandangan sepertinya.
“Isteri saya sudah meninggal. Saya juga tidak lagi pernah berjumpa dengan anak-anak saya lebih kurang 10 tahun,” kata Jainal yang mempunyai empat anak yang masing-masing telah berumah tangga.
Bagi Abu Sari Boriot, 59, yang berasal dari Balung, Tawau, menjadikan Asia City di sini sebagai tempat tinggalnya sejak kira-kira sebulan lepas kerana kemiskinan. “Keluarga saya di Kalabakan. Tidak banyak kerja yang boleh dibuat di kawasan terpencil. Jadi, saya datang sini untuk cari kerja,” katanya. Beliau juga menghidap penyakit Parkinson sejak setahun lepas dan mendapat ubat dan rawatan daripada Hospital Queen ELizabeth di sini.
0 comments:
Post a Comment