Anak Sarawak diberi keutamaan dalam industri carigali di negeri ini terutama melibatkan Petronas, kata Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pelaburan dan Promosi) Datuk Julaihi Narawi. Malah, menurut Julaihi, Petronas sentiasa komited pembangunan modal insan dan memberi keutamaan kepada anak Sarawak selari perkembangan operasi syarikat terutama di sektor huluan.
Sebagai contoh, katanya, jumlah pekerja sektor huluan di Sarawak telah meningkat 10 peratus kepada 4,400 pada 2016 berbanding 4,000 pada 2015. “Daripada 4,400 tenaga kerja berkenaan, 71 peratus adalah anak Sarawak dalam kata lain majoriti daripada tenaga kerja dalam industri ini dipelopori oleh anak tempatan kita.
“Malah, daripada jumlah pertambahan 400 orang ini, 313 merupakan graduan dari Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) yang merupakan anak Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan daripada Christopher Gira Sambang (BN-Tamin) pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 di Kompleks DUN di sini semalam.
Tambah Julaihi, Petronas juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu anak Sarawak di bawah program pendidikan dan pembangunan modal insan. Untuk makluman, seramai 643 anak Sarawak telah menerima Program Biasiswa Pendidikan Petronas sejak 2003.
Selain itu Universiti Petronas telah mengeluarkan seramai 596 graduan sejak 2003 dan seramai 1,862 graduan Sarawak dari INSTEP sejak 2007.
0 comments:
Post a Comment