Uruguay menerima kejutan apabila tersingkir daripada Copa America Centenario semalam manakala Venezuela dan Mexico mara ke suku akhir kejohanan itu. Uruguay, juara Copa America 15 kali, tersingkir di peringkat kumpulan buat kali pertama sejak 1997 selepas tewas mengejut 0-1 kepada Venezuela di Philadelphia.
Keputusan buruk itu ditambah pula dengan kemenangan Mexico ke atas Jamaica 2-0 dalam Kumpulan C di Pasadena yang membuatkan juara 2011 itu sukar menerima hakikat tersingkir awal.
“Kami tidak menemui rentak permainan yang dimahukan, akhirnya ia membawa padah,” kata jurulatih Uruguay Oscar Tabarez dan menambah kempen malang seperti itu wajar menjadi amaran buat pasukannya yang kini mengalih pandangan terhadap kelayakan Piala Dunia 2018.
“Ia Copa America yang jauh berbeza. Saya tidak pernah mengalami sesuatu sepertinya sebelum ini. Kami sedar ia akan menjadi sukar tapi ini akan menyedarkan kami sebelum kelayakan Piala Dunia,” kata Tabarez.
Kekalahan Uruguay turut melengkapkan kejohanan yang dianggap malang buat bintang Barcelona Luis Suarez. Suarez, yang mengalami kecederaan hamstring apabila menyertai skuad itu, tidak pernah beraksi walau seminit sepanjang kejohanan itu.
Dia berada di tempat duduk pemain dan kelihatan kecewa kerana tidak dapat bermain dan pada satu ketika dilihat menumbuk dinding.
Tabarez mempertahankan keputusannya untuk tidak menyenaraikan Suarez dalam skuad. “Pemain itu tidak cergas untuk bermain. Semua ini membabitkan angka. Saya tidak akan memilih pemain yang tidak 100 peratus cergas. Adakah dia marah? Saya tidak perasan. Dia tidak memberitahu saya apa-apa,” kata Tabarez.
Jaringan kemenangan Venezuela hadir pada minit ke-36 apabila pemain tengah Alejandro Guerra berjaya mengesan penjaga gol Uruguay Fernando Muslera berada di luar kawasannya. Guerra meledak percubaan jarak jauh dari kawasan tengah padang menyebabkan Muslera hanya mampu menepis bola ke tiang sebelum Salomon Rondon merembat lantunan itu ke gawang.
Kemaraan Venezuela ke suku akhir dianggap kejutan terbesar dalam kejohanan itu setakat ini.
0 comments:
Post a Comment