My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 21 June 2016

    Pengakuan Tertuduh Perlu Diberi Pertimbangan



    Mahkamah Tinggi diberitahu semalam bahawa pengakuan tertuduh dalam kes pencerobohan Lahad Datu perlu diberi pertimbangan sewajarnya kerana cerita mereka saling disokong satu sama lain. 

    Datuk N. Sivananthan, peguam bagi 13 rakyat Filipina yang membela diri dalam kes itu, berkata anak-anak guamnya telah memberi pengakuan mereka secara individu di hadapan seorang hakim Mahkamah Sesyen sebelum kes itu didengar di Mahkamah Tinggi, dan mereka juga ditahan secara berasingan tanpa mempunyai akses kepada satu sama lain.

    “Pengakuan mereka mungkin direka-reka apabila kesemuanya memberitahu bahawa mereka telah ditipu untuk datang ke Sabah setelah dijanjikan pekerjaan. Mereka telah memberikan keterangan yang berbeza-beza namun, versi peristiwa yang berlaku adalah sangat konsisten.

    “Malah, keterangan saksi pendakwaan juga menyokong pengakuan orang yang dituduh,” katanya semasa membentangkan hujahnya pada akhir perbicaraan pembelaan.

    Sivananthan juga berkata terdapat pertikaian berhubung kesahihan transkrip pemintasan komunikasi yang dilakukan oleh polis Cawangan Khas (SB). Beliau berkata format transkrip yang dikemukakan semasa perbicaraan pihak pendakwaan adalah berbeza daripada transkrip yang dikemukakan sebagai bukti semasa perbicaraan seorang anggota SB, Koperal Hassan Ali Basari, yang didapati bersalah kerana menyembunyikan maklumat mengenai pencerobohan itu pada 2013.

    Menurutnya saksi itu, yang memberi keterangan di bawah perlindungan dalam kedua-dua perbicaraan itu, mengakui telah menyediakan dokumen yang dikemukakan pada perbicaraan Hassan Ali tetapi menafikan beliau menyediakan dokumen sama semasa perbicaraan pencerobohan itu.

    Sivananthan juga berkata seorang daripada saksi yang dilindungi pendakwaan mengakui wujudnya puak dalam apa yang didakwa sebagai kesultanan Sulu, dan ada pengikut yang telah menukar kesetiaan sama ada terhadap Esmail Kiram atau Agbimuddin Kiram.

    Abdul Gani Zelika, peguam yang mewakili satu-satunya rakyat Malaysia dalam perbicaraan pembelaan itu, berkata tidak ada bukti kukuh menunjukkan anak guamnya Abd Hadi Mawan adalah anggota kumpulan pengganas itu, yang mahu merampas Sabah dengan melancarkan perang.

    Beliau berkata pihak pendakwaan tidak melakukan sebarang usaha untuk menyiasat seseorang yang bernama ‘Abraham’ yang boleh mengesahkan hubungan Abdul Hadi dengan kumpulan pengganas itu.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar berkata kesemua rakyat Filipina yang dituduh itu ada memainkan peranan, walaupun kecil, kerana mereka adalah sebahagian daripada kumpulan yang datang untuk melancarkan perang dan merampas Sabah, walaupun mereka mendakwa mereka tidak mengetahui tentangnya.

    Beliau juga berkata keterangan beberapa tertuduh bahawa mereka diancam maut jika cuba melarikan diri daripada kumpulan itu yang menceroboh Kampung Tanduo di Lahad Datu, boleh dipersoalkan. Mengenai format transkrip pemintasan komunikasi, Mohd Dusuki berkata pendakwaan menggunakan Seksyen 24 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 supaya format yang dikemukakan dalam perbicaraan pencerobohan itu diterima sebagai keterangan.

    “Saya tidak tahu apa yang berlaku semasa perbicaraan Koperal Hassan Ali kerana saya bukannya Timbalan Pendakwa Raya ketika itu. Seramai 13 warga Filipina dan seorang lelaki tempatan membela diri di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bagi pelbagai pertuduhan yang didakwa dilakukan di antara 12 Feb dan 10 April, 2013.

    Beberapa daripada tertuduh itu menghadapi antara satu hingga beberapa pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong. Beberapa yang lain pula dituduh dengan sengaja melindungi individu yang mereka ketahui menjadi anggota kumpulan pengganas atau bekerjasama atau memberi sokongan kepada kumpulan pengganas.

    Chung mengekalkan 25 Julai ini sebagai tarikh bagi beliau menyampaikan penghakimannya berhubung kes itu.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Pengakuan Tertuduh Perlu Diberi Pertimbangan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top