ENGLAND boleh melupakan impian untuk melangkah lebih jauh pada kempen Euro 2016 jika jentera serangan mereka masih gagal mempamerkan watak sebagai pemusnah. Tindakan penyudah dilihat sebagai masalah utama skuad The Three Lions itu sepanjang Euro kali ini dan mereka sekadar berjaya menghasilkan tiga gol pada saingan peringkat kumpulan.
Jika masalah tersebut berterusan, peluang untuk melangkah ke pusingan suku akhir nampak sangat tipis. Awal pagi ini, skuad kendalian Roy Hodgson itu akan membuat perhitungan dengan pasukan kerdil, Iceland dan ramai meramalkan England bakal ditunjuk jalan keluar oleh lawan mereka itu.
Iceland telah melakar kejutan tersendiri pada kempen kali ini apabila tampil konsisten pada saingan peringkat kumpulan dan mereka dilihat antara pasukan yang memiliki jentera pertahanan yang cukup kental. Andai rentak cemerlang itu mampu dipertahankan, ia bukan perkara yang mustahil buat Iceland meranapkan impian England pada perlawanan pusingan kalah mati ini.
Malah, Hodgson secara terbuka melahirkan kebimbangan dengan jentera serangannya yang dilihat kurang kreatif apabila berada di hadapan gawang pasukan lawan. Menurutnya, jika masalah tersebut terus menghantui barisan pemainnya, mereka bakal berdepan malapetaka pada aksi menentang Iceland nanti.
Hodgson yang kecewa dengan situasi itu memberi amaran kepada barisan pemainnya supaya memastikan England tidak diaibkan oleh negara paling kerdil pada kempen Euro kali ini. “Saya tidak gembira kerana kami tidak menjaringkan gol biarpun menguasai sebahagian besar perlawanan-perlawanan sebelum ini. Kami hilang idea terutama di hadapan gawang gol pihak lawan.
“Semua orang sedar jika kami tidak memperbaiki situasi ini, kami tidak akan meneruskan cabaran pada kejohanan ini,” jelas Hodgson.
0 comments:
Post a Comment