Kesemua 15,000 tiket bagi upacara penghormatan awam kepada petinju legenda, Muhammad Ali yang akan berlangsung hari ini telah habis diedarkan, kata penganjur kelmarin. Beratus-ratus orang berbaris panjang sejak awal pagi untuk berpeluang mendapatkan tempat duduk di KFC Yum! Center, sebuah arena sukan di Louisville yang akan digunakan untuk upacara tersebut.
Majlis itu akan turut dihadiri bekas presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton dan pelawak Billy Crystal. Ali merupakan antara petinju paling hebat pada eranya dan gigih memperjuangkan hak-hak awam sekali gus menjadi figura paling berpengaruh pada abad ke-20.

“Ia merupakan sebahagian daripada sejarah kami dan saya rasa Muhammad Ali mempunyai legasi tersendiri,” kata Andeja Tyler yang turut beratur panjang untuk mendapatkan tiket.
Sebanyak 10 gerai tiket dibuka untuk mengagih dan mengedarkan empat tiket percuma bagi setiap individu. Dalam tempoh satu jam sahaja, kesemua tiket habis diedarkan.
“Tiket penghormatan awam Muhammad Ali habis. Tidak sabar untuk memperingati #TheGreatest! Majlis ini akan turut disiarkan di jumbotron luar arena ini,” kata KFC Yum! Center di Twitter.
Sesetengah orang sanggup bermalam dalam barisan dengan duduk di atas kerusi dan membalut badan dengan selimut untuk mendapatkan tiket. “Muhammad Ali seorang manusia yang luar biasa, bukan hanya sebagai atlet tetapi juga dalam hal kemanusiaan,” kata penolong peguam daerah tempatan, Jessica Moore.

Penganjur memaklumkan, beberapa ketua negara termasuk Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan akan turut hadir pada majlis ini. Bagaimanapun, Presiden AS, Barack Obama tidak dapat hadir kerana berada di Washington untuk menyaksikan majlis graduasi sekolah tinggi anak perempuannya, Malia.
0 comments:
Post a Comment