Suasana semula jadi dan hijau yang menjadi latar pengenalan kediaman ini sudah cukup untuk menghuraikan minat mendalam pemiliknya dalam mencetuskan keunikan berbeza. Batu-bata yang disusun berselang-seli sebagai pagar kediaman mencetuskan nostalgia klasik seolah-olah kembali kepada alam.
Ia diserikan dengan seni bina rumah menggunakan material berkeemasan sebagai kemasan utama. Persepsi pertama penulis saat dipelawa masuk ke dalam rumah ini ialah pemiliknya seorang yang mencintai kelainan.
Latar dinding berhadapan pintu masuk didekoratifkan dengan kepingan cakera padat. Disusun dalam bentuk menarik, ia menjadi elemen pertama menyambut kunjungan. Bersebelahannya, papan hitam dengan lakaran ringkas binaan kediaman itu membawa satu lagi elemen kreatif di luar kebiasaan.
Mungkin ia menjadi ‘pengganti’ diri pemilik 10 At Hilltop Homestay, Seri Kembangan, Selangor itu saat tetamu berkunjung jika latar itu antara pandangan pertama. Suasana itu sudah cukup menggambarkan pemiliknya Loisa Pee, 42, gemarkan penataan berbeza, natural dan tanpa perlu bajet besar.
“Sebaik membeli kediaman ini dua tahun lalu sudah terbayang satu dekorasi unik bakal saya ketengahkan. Bimbang semua itu tidak dapat dizahirkan sepenuhnya, saya dan keluarga akhirnya bersetuju melantik Doid Concept Sdn Bhd dengan pengarah pereka dalamannya Jerry Kok untuk penataan unik ini,” katanya yang berpuas hati dengan hasil kombinasi idea dengan syarikat pereka dalaman itu.
Seterusnya ketika berada di antara ruang dinding menempatkan papan hitam dan cakera padat, mata juga tidak terlepas pandang pada ruang tamu. Sarat dengan perhiasan ala retro apabila set kerusi kusyen buluh, meja kopi kayu palet serta panel dinding utama dalam konkrit natural.
Hanya perlu menuruni beberapa anak tangga yang diubah suai khas Doid Concept Sdn Bhd untuk menikmati suasana segar di ruang tamu. Ruang yang luas dan lapang itu dizahirkan selesa sepenuhnya dalam suasana santai sambil menonton televisyen. Bersebelahan pula, ruang makan dengan meja kayu palet berkerusi merah hakikatnya membangkitkan selera menjamu.
Pada ruang makan itu, aura penataan kontemporari jelas apabila meja kayu palet digabungkan kerusi merah. Landskap hijau di luar pula turut mencuri perhatian biar pun sekadar hamparan rumput. Kekemasan, kebersihan dan suasana semula jadi itu memberikan 1,001 makna kepada sesiapa saja.
Menghadap pula ruang dapur yang menempatkan binaan kabinet kontemporari dalam natural apabila permukaan meja atau table top tanpa kemasan jubin. “Semua ini untuk keselesaan dan suasana lapang lebih membantu kerja-kerja mengemas dan penyelenggaraan,” kata anak kelahiran Kuantan, ini.
Ketika dipelawa ke tingkat atas, terpandang pula bilik tidur gaya ringkas dan praktikal dari tangga ruang tamu. Pada anak tangga akhir sebelum ke tingkat atas juga, kekemasan dan dekorasi bilik air tingkat bawah itu tidak kurang menariknya. Berada di tingkat atas, bilik tidur utama menjadi ruang pertama yang dijengah.
Banyak elemen ‘bajet’ yang diketengahkan. Lampu tidur daripada tin cat dengan pemegangnya besi sementara meja pelbagai guna dan tempat menggantung pakaian juga daripada palet. Sepasang kerusi yang popular zaman 80-an menjadi pelengkap sudut tepi tingkap bilik tidur utama itu.
“Bilik tidur dalam 10 At Hilltop Homestay ini ada empat, nampak sama tapi dekorasinya berbeza mengikut kedudukan dan kesesuaiannya. Jika berada pada bahagian tepi, dindingnya menjadi latar utama dengan kemasan ‘glass block.’ Suasana tidak kira siang dan malam tetap menarik apabila ‘glass block’ ini menerangi bilik apabila memantulkan cahaya matahari atau bulan,” katanya.
Mengimbau kembali situasi sebelum, sebaik kerja-kerja pengubahsuaian dan hiasan dalaman siap sepenuhnya, Loisa dan keluarganya sepakat untuk menjadikan kediaman itu sebagai inap desa.
“Mengapa tidak kami kongsikan keunikan seni bina, landskap dan dekorasi rumah ini. Kami juga yakin, ramai dalam kalangan kita yang mencintai landskap semula jadi dalam persekitaran selesa,” katanya yang kini menetap di Putra Heights, Subang Jaya bersama keluarga. Anda berminat menginap di sini boleh melayari laman web www.10hilltop.com atau Facebook 10 at Hilltop Homestay.
0 comments:
Post a Comment