Ramadan masuk hari kelapan namun kemuliaan bulan mulia di sisi umat Islam ini terjejas dengan pertaruhan judi bola secara atas talian sempena Euro 2016 yang sedang berlangsung di Perancis. Siasatan mendapati nilai pertaruhan membabitkan rakyat Malaysia saja mencecah ratusan ribu hingga jutaan ringgit setiap hari sejak Kejohanan Bola Sepak Eropah melakukan sepak mulanya, 11 Jun lalu.
Hasil pengamatan mendapati, sindiket antarabangsa melantik ratusan ejen ataupun bookie bagi mengutip pertaruhan di seluruh negara menerusi beberapa laman web yang masih belum disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Setiap pertaruhan dilakukan secara atas talian dengan wang kemenangan dibayar melalui transaksi ke akaun bank masing-masing. Nilai kemenangan daripada jumlah taruhan dikesan serendah satu kali ganda hingga 300 kali ganda berdasarkan keputusan dipilih kaki judi. Semakin kecil kemungkinan sesuatu taruhan itu, semakin tinggi gandaan kemenangan ditawarkan.
Malah, laman web yang digunakan sindiket dikesan menerima taruhan serendah RM100 hingga RM300,000 ataupun lebih pada satu-satu masa berdasarkan nilai pinjaman dalam akaun berkenaan (akaun milik sindiket).
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Gangsterisme (D7) Bukit Aman Datuk Rosli Chik berkata, tindakan sindiket dan kaki judi terbabit sememangnya mencemarkan kesucian Ramadan.
“Disebabkan itu, kita akan perangi mereka habis-habisan dan menggunakan segala peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Akta Penggubahan Wang Haram, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Pertaruhan 1953 (Akta 459),” katanya.
Bukti komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerangi judi bola itu, Rosli berkata, empat dalang utama yang menganjurkan pertaruhan itu ditahan bermula 1 Jun lalu sehingga semalam. “Penahanan empat suspek dalam Op Soga VI itu membabitkan rampasan tunai bernilai RM37,698.67 termasuk mata wang Singapura berserta telefon bimbit, mesin pencetak, komputer riba, tablet dan modem Internet,” katanya.
Rosli berkata, semua suspek berusia 26 hingga 53 tahun itu ditahan menerusi empat serbuan di sekitar Pulau Pinang dan Johor Bahru. “Serbuan dilakukan dilakukan membabitkan tiga premis restoran iaitu satu di Johor Jaya dan dua lagi di Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor Bahru. Kita menahan tiga lelaki di semua premis itu.
“Serbuan berasingan di sebuah pusat hiburan di Jalan Kedah, Pulau Pinang pula, seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun ditahan kerana disyaki menjalankan kegiatan pengutip pertaruhan haram judi bola sepak,” katanya.
Rosli berkata, hasil pemeriksaan dilakukan terhadap peralatan elektronik dirampas berkenaan mendapati terdapat pautan laman sesawang digunakan untuk pertaruhan judi bola sepak Euro 2016.
“Setiap laman sesawang berkenaan mempunyai had taruhan tertentu bergantung kepada had pinjaman dibenarkan. Kita dapati ada yang pinjaman dihadkan sehingga RM300,000 dan pastinya membolehkan kaki judi untuk membuat taruhan besar,” katanya.
Menurutnya, polis tidak akan berkompromi dengan sindiket itu malah kemungkinan menggunakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) terhadap mereka.
0 comments:
Post a Comment