My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 27 June 2016

    Fokus Keselamatan Juadah Di Bazar


    Apabila tiba Ramadan, antara yang paling dinanti adalah bazar menjual juadah berbuka puasa. Ketika ini, aneka jenis minuman, lauk-pauk tradisional, hidangan ala Barat dan kuih-muih dijual secara lambak bagi memikat pelanggan.

    Namun, di sebalik kemeriahan umat Islam membeli-belah juadah untuk berbuka, timbul cerita makanan dibeli basi, tercemar atau berulat. Lebih teruk, akibat makanan rosak itu ada pengguna mengalami keracunan makanan hingga mengundang maut.

    Bagi memastikan makanan yang dibeli selamat dimakan, ada tiga langkah mudah untuk kita mengenali makanan rosak atau basi. Menerusi kaedah lihat, hidu dan rasa, prosedur ini amat mudah untuk dilakukan dan hanya menggunakan deria untuk membuat penilaian sebelum mengambil makanan.

    Sebelum membeli, pastikan makanan dilihat tidak berlendir, berbuih, berkulat, berubah warna atau tamat tarikh luputnya. Kemudian, hidu makanan itu untuk memastikan tiada bau yang tidak menyenangkan atau berbeza daripada biasa. Berikutnya, rasa makanan itu sama ada ia sudah basi atau busuk.

    Jika makanan didapati mempunyai ciri-ciri terbabit, bermakna ia sudah rosak atau basi dan tidak boleh dimakan. Kementerian Kesihatan (KKM) juga mengambil inisiatif menganjurkan kempen keselamatan makanan dalam usaha untuk melindungi orang ramai daripada bahaya kesihatan berpunca daripada makanan, penipuan dalam penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan. 

    Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM, Norhidayah Md Sahray berkata, makanan boleh rosak disebabkan penggunaan bahan mentah yang tercemar dengan kuman, penyediaan makanan tidak bersih, peralatan kotor, tabiat menghidangkan dan menyimpan makanan tidak mengikut cara yang selamat.

    “Ramadan juga dikatakan bulan juadah apabila aneka jenis makanan dijual, tambah lagi selepas seharian berpuasa dan perut lapar mendorong keinginan untuk menikmati bermacam-macam makanan.

    “Jadi, kita akan ambil atau beli pelbagai jenis makanan ketika di bazar Ramadan dan risiko kejadian keracunan makanan akan ada. Faktor yang menyumbang kepada pencemaran makanan bermula daripada pengendali makanan itu sendiri tidak mengamalkan kebersihan.

    “Ini termasuk kebersihan diri seperti kuku panjang, tidak cuci tangan, tidak pakai apron, tidak tutup kepala, tidak peka kebersihan peralatan untuk mengambil makanan dan juga kebersihan makanan itu sendiri,” katanya.

    Kata Norhidayah, persekitaran tempat menyediakan makanan juga wajar dititikberatkan walaupun makanan disediakan di rumah sekalipun. Dapur memasak perlu dipastikan bersih dan bukan tempat haiwan perosak yang membawa penyakit membiak.

    “Suhu penyimpanan makanan yang tidak betul juga menyebabkan pencemaran makanan berlaku. Suhu penyimpanan ini dibahagikan kepada suhu sebelum makanan itu dimasak iaitu ketika masih bahan mentah dan suhu penyimpanan selepas makanan dimasak.

    “Bahan mentah berisiko tinggi seperti ayam, daging dan ikan patut disimpan dalam suhu yang betul iaitu dalam sejuk beku. Apabila ia dimasak, makanan ini perlu dimasak dengan sempurna dengan mengelakkan separuh masak,” katanya.

    Norhidayah berkata, ada lima panduan makanan selamat yang digariskan KKM untuk diamalkan bagi mengekalkan tahap keselamatan makanan serta mengelak kejadian keracunan makanan. “Jaga kebersihan merangkumi kebersihan pengendali atau penyedia makanan dengan kerap mencuci tangan sebelum dan selepas kerja memasak.

    Cuci peralatan memasak dan pastikan kebersihan persekitaran memasak untuk mengelakkan kedatangan makhluk perosak. “Asingkan makanan mentah daripada makanan yang dimasak bagi mengelakkan pencemaran bersilang. Air lelehan makanan mentah seperti daging, ayam dan ikan mengandungi kuman yang boleh mencemari makanan lain sewaktu penyediaan dan penyimpanan makanan,” katanya.

    Beliau berkata, makanan mesti dimasak dengan cara yang betul apabila ia perlu dimasak dengan sempurna sepenuhnya terutama daging, ayam, telur dan makanan laut, manakala makanan berkuah dimasak sehingga mendidih.

    “Makanan juga perlu disimpan pada suhu yang selamat sama ada bahan mentah atau yang sudah dimasak. Ayam mentah sepatutnya disimpan secara sejuk beku, tetapi jika kita letak ayam itu terdedah kepada suhu bilik, perlahan-lahan ia akan rosak.

    “Ketika memasak, gunakan air dan pilih bahan mentah yang segar dan selamat dimakan. Basuh sayur-sayuran yang dimakan mentah terlebih dahulu dan elakkan makanan yang melewati tarikh luputnya,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Fokus Keselamatan Juadah Di Bazar Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top