Pemilik sebuah pasar raya Kim Hock dua tingkat di pusat komersil Sibu Jaya menanggung kerugian besar selepas cawangan keduanya terbakar petang semalam. Kebakaran tersebut yang dipercayai bermula di bahagian tingkat atas berlaku sekitar jam 2.30 petang.
Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menerima panggilan kecemasan pada jam 2.37 petang mengerah seramai tiga pasukan anggota penyelamat dari Balai Bomba Sentral, Balai Bomba Sungai Merah dan Balai Kanowit dengan kekuatan seramai 43 anggota.
Asap tebal kelihatan menjulang ke udara dan api telah memunsahkan bahagian tingkat atas pasar raya tersebut apabila pasukan bomba pertama tiba di lokasi kejadian pada jam 3 petang. Seorang juruwang pasar raya dikenali sebagai Beronica, 22, memberitahu bahawa dia sedang melayan pelanggan di kaunter apabila terdengar alat sistem penggera berbunyi.
“Tidak lama kemudian beberapa pekerja lain meluru masuk dan naik ke tingkat atas membawa alat pemadam api,” ujarnya.
Menurutnya, dia diarah menjaga kaunter seketika sebelum diminta keluar apabila api semakin marak. Beberapa pekerja lain turut mengeluarkan barang-barang runcit ke tempat selamat namun kebanyakan barangan berada di tingkat atas tidak dapat diselamatkan.
Difahamkan, syarikat pasar raya terbabit pernah mengalami musibah sama apabila cawangan pertamanya terbakar lebih 10 tahun lalu. Syarikat pasar raya berkenaan mempunyai tiga cawangan dan kesemuanya terletak di Sibu Jaya. Cawangan baharu pasar raya Kim Hock ketiga beroperasi sebelum perayaan Hari Gawai Dayak lepas di blok komersil Sibu Jaya.
Api berjaya dikawal pada jam 3.29 petang dan kebakaran mencecah 70 peratus. Punca kebakaran belum dapat dikenal pasti dan kebakaran tercetus semasa pasar raya tersebut sedang beroperasi. Difahamkan, nilai kerugian dipercayai mencecah angka jutaan ringgit, namun ia masih dalam siasatan.
Bomba mengesahkan tiada kecederaan dan kehilangan nyawa dilapor dalam kebakaran tersebut. Pemilik pasar raya tersebut merupakan seorang ahli perniagaan yang bekerja keras dengan memulakan perniagaan lebih 20 tahun lalu sebagai seorang penjaja runcit di parkir kereta rumah kos rendah sehingga berjaya menjadi seorang pemilik tiga cawangan pasar raya.
0 comments:
Post a Comment