My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 14 June 2016

    Berlatih Bercakap Menggunakan Taring




    Menjayakan watak bukan manusia sememangnya sukar bagi pelakon filem adaptasi permainan video tersohor dunia Warcraft, Paula Patton kerana bukan saja perlu berlatih bertutur menggunakan taring panjang tetapi mempelajari bahasa Orc. 

    Kali pertama berlakon dalam filem fantasi, Patton membawa watak sebagai hamba iaitu separuh makhluk Orc dan separuh manusia. Menceritakan cabaran berlakon dalam Warcraft, aktres kelahiran California, Amerika Syarikat itu berkata, dia dikehendaki mempelajari bahasa Orc daripada jurulatih. 

    “Bahagian itu memang mencabar terutama saya perlu bercakap sambil memakai gigi taring palsu. Pun begitu, saya seronok melakukannya dan turut berlatih bertutur Orc dengan anak lelaki di rumah,” katanya.

    Menurutnya, taring palsu yang perlu dipasangkan pada gigi ketika berlakon didapati menyukarkan dia bertutur dengan lancar kerana menjadikan bahagian bawah bibirnya lebar. “Disebabkan itu, saya terpaksa membawa pulang taring ke rumah dan berlatih bercakap sambil memakainya dengan keluarga. Anak lelaki saya sangat menyukai taring itu, malah dia turut bermain dengannya dan memanggil saya Mommy Orc,” katanya.

    Bagi menghidupkan wataknya, Patton turut menyumbang pendapat mengenai solekan penampilan Garona yang membabitkan masa panjang untuk disiapkan. “Kami mencuba pelbagai gaya untuk solekan dan rambut kecuali warna kulit yang dilakukan kemudian. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk memberi Garona kulit hijau seperti buah zaitun. Menariknya, warna kulit Garona boleh berubah seperti manusia tanpa mengira waktu atau jenis cuaca,” katanya.

    Sememangnya proses ‘mencipta’ Garona rumit kerana pasukan solekan perlu menambahkan tatu, memasang telinga palsu dan memberi kesan cedera pada badan Patton. “Akhir sekali, saya dikehendaki memakai sepasang kanta mata yang kedua-dua belah berbeza warna hijau.

    “Saya kelihatan lucu memakai kanta itu dan berasa seperti bukan manusia. Bagaimanapun, corak pada kanta itu menggangu penglihatan saya. Selepas solekan selesai, saya berasa seperti Garona,” katanya.

    Bercerita lanjut, Patton bersetuju berlakon sebagai Garona selepas mendengar penjelasan pengarah Duncan Jones selain berasakan watak itu menggerunkan. “Saya tidak mengetahui apa-apa mengenai permainan video Warcraft dan hanya membaca kisah filem itu daripada skrip yang diberikan.

    “Jones menceritakan kepada saya mengenai ideanya membawa permainan video itu ke layar perak dan hasil seni Warcraft. Saya tertarik dan terus bersetuju walaupun pada masa itu kami belum menandatangani kontrak lagi,” katanya.

    Katanya lagi, dia sukar membayangkan dirinya sebagai Orc dan mahu memberi lakonan terbaik agar tidak mengecewakan peminat Warcraft yang sudah mengenali Garona. “Memang pening memikirkan bagaimana saya dapat menonjolkan sifat wira dan ketabahan Garona kepada penonton,” katanya. 

    Dalam filem Warcraft, Garona dibawa ke Azeroth, dunia aman yang dihuni manusia dan makhluk mistik. Sukar menyesuaikan diri di tempat asalnya, Garona mendapati suasana di Azeroth mengubah perasaan dan emosinya. Di situ, dia jatuh cinta dengan Lotar. Kehadiran tentera Orc di Azeroth menimbulkan kekecohan, seterusnya mencetuskan peperangan di antara makhluk Orc dan manusia.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Berlatih Bercakap Menggunakan Taring Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top