Juara bertahan, Chile terus melakar sejarah apabila meranapkan impian Argentina untuk memenangi gelaran juara Copa America Centenario selepas tewas buat kali kedua berturut-turut menerusi sepakan penalti 4-2 di Stadium Metlife pagi semalam.
Keputusan tersebut mengulangi pertembungan final Copa America tahun lalu apabila Chile menjuarai perlawanan tersebut menerusi penentuan penalti selepas perlawanan terikat tanpa jaringan ketika menentang Argentina.
Dalam saingan tersebut, perlawanan terpaksa ditamatkan dengan detik mengecewakan buat kapten Argentina, Lionel Messi apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti selepas sekadar melepasi palang sebelum Lucas Biglia turut gagal menyudahkan sepakan tersebut dengan baik apabila ditangkap kemas penjaga gol Chile, Claudio Bravo.
Ini merupakan kekalahan ketiga buat Argentina di pentas final dalam tempoh tiga tahun termasuk tewas kepada Jerman dalam Piala Dunia 2014. Kekalahan ini sekali gus meneruskan kemarau buat Argentina yang gagal menjulang sebarang kejuaraan melebihi 23 tahun.
“Kemenangan yang dirangkul ini tidak boleh diungkapkan dengan kata-kata dan saya hanya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang tidak henti-henti memberikan sokongan kepada kami.
“Ia bukan satu perlawanan yang mudah kerana kami beraksi menentang Argentina yang sudah pasti antara pasukan terhebat di dunia. Kami adalah generasi yang mencipta sejarah menjulang kejuaraan ini. Ini adalah detik sejarah buat saya,” ujar penyerang Chile, Alexis Sanchez.
Dalam saingan tersebut, Chile terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Diaz menerima kad kuning kedua apabila didapati menghalang gerakan Messi pada minit ke-28. Bagaimanapun, Argentina gagal menggunakan peluang tersebut dengan baik selepas mereka turut mengalami masalah yang sama apabila Marcos Rojo dilayangkan kad merah pada minit ke-43 selepas melakukan terjahan keras terhadap Arturo Vidal.
Pada penentuan sepakan penalti, Vidal gagal meledak gol pertama buat Chile selepas Sergio Romero bijak menyelamatkan sepakan tersebut. Akhirnya, Francesco Silva menamatkan penantian apabila menjaringkan gol kemenangan buat Chile.
Sanchez muncul pemain terbaik kejohanan setelah membawa pasukannya menjuarai Copa America edisi ke-100 tahun tersebut, manakala Eduardo Vargas muncul pemenang kasut emas selepas meledak enam gol sepanjang kejohanan, empat gol yang dihasilkan adalah ketika membenam Mexico 4-0.
0 comments:
Post a Comment