My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 30 June 2016

    SICSB Bakal Bina Hotel



    Sepang International Circuit Sdn Bhd (SICSB), pengendali Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan mula membangunkan hotel pertamanya pada suku pertama 2017, sekali gus menjadi projek perintis dalam pelan induk 10 tahun pembangunan SIC dalam sektor hartanah. 

    SIC yang mempunyai 286 hektar bank tanah ketika ini berhasrat untuk membangunkan pelbagai projek hartanah termasuk hotel, villa dan apartmen servis, hab hiburan bersepadu, kemudahan kejuruteraan permotoran serta pusat keselamatan dan pemanduan termaju.

    Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, ketika ini, pihaknya dalam proses perbincangan dengan perunding hartanah bagi membangunkan projek hotel berkenaan yang dijangka mempunyai antara 150 dan 200 buah bilik apabila ia siap dibina dalam tempoh tiga tahun akan datang.

    Beliau berkata, perbincangan semasa itu juga membabitkan rundingan dengan syarikat yang akan menjadi operator hotel berkenaan yang dijangka bertaraf empat bintang.

    “Saya tidak sabar untuk menantikan pembangunan hotel ini memandangkan ia menjadi perintis dalam projek pembangunan hartanah di SIC yang mana ia juga akan menjadi permulaan untuk menjadikan lokasi ini bukan saja sebagai tempat orang ramai untuk menyaksikan perlumbaan sukan permotoran, tetapi lebih kepada destinasi percutian.

    “Malah, secara tidak langsung projek hartanah pertama ini juga akan membantu SIC untuk tidak bergantung kepada perolehan acara sukan permotoran saja yang kini mendominasi sebanyak 80 peratus kepada prestasi kewangan syarikat,” katanya kepada media di sini.

    Sebelum ini dilaporkan SIC bakal membangunkan sebahagian tanah berkeluasan 156 hektar di sekitar SIC dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.6 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang.

    Langkah itu sejajar dengan hasrat syarikat untuk memacu pendapatannya yang pada masa ini sebanyak 89 peratus disumbangkan oleh penganjuran beberapa acara sukan permotoran dunia seperti Formula 1, Moto GP dan tempahan SIC manakala, baki 11 peratus lagi oleh acara keraian serta hiburan.

    SICSB menganggarkan GDV bagi beberapa komponen hartanah iaitu hab hiburan bersepadu (RM520 juta), kemudahan kejuruteraan permotoran (RM350 juta), hotel/villa/apartmen servis (RM118 juta) serta pusat keselamatan dan pemanduan termaju (RM150 juta).

    Razlan berkata, apabila projek hartanah itu dapat disiapkan sepenuhnya pada masa depan, ia membantu merealisasikan impiannya untuk menjadikan SIC sebagai sebuah destinasi singgahan harian orang ramai dan bukan disebabkan sesuatu acara saja. Katanya, kawasan sekitar Sepang kini giat membangun dengan pelbagai kemudahan pengangkutan dan prasarana lain turut membantu meningkatkan daya tarikan orang ramai ke SIC pada masa depan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: SICSB Bakal Bina Hotel Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top