Selepas berjaya menggeletek penonton menerusi filem pecah panggung Finding Nemo pada 2003, Walt Disney Pictures dan Pixar Animation Studios kembali ‘menyihir’ dunia dengan mempertaruhkan sekuel filem berkenaan.
Sejak ditayangkan Jumaat lalu, filem sekuel yang diberi judul Finding Dory ini wajar dipuji kerana pengolahan jalan cerita yang lebih menarik dan dilihat jauh lebih matang berbanding Finding Nemo. Malah, penantian selama hampir 13 tahun itu nyata membuatkan penonton begitu teruja sehingga filem tulisan dan arahan Andrew Stanton ini berjaya mencatat kutipan tiket RM224.9 juta dalam tempoh dua hari tayangan di Amerika Syarikat.
Menerusi filem ini, Andrew mengangkat kisah watak sampingan dalam Finding Nemo iaitu Dory yang menghidap penyakit hilang daya ingatan atau amnesia dalam meneruskan kehidupan bersama sahabatnya, Marlin dan anaknya, Nemo selepas dua beranak itu kembali bersatu di tempat tinggal mereka.
Suatu hari, Dory mengikut rombongan sekolah Nemo dan satu peristiwa berlaku menyebabkan dia kembali teringat zaman kanak-kanaknya. Malah, dia juga berhasrat untuk mencari ibu dan bapanya di California yang sudah lama tidak ditemui selepas mereka berpisah . Demi membalas jasa Dory yang membantu mencari anaknya, Marlin bersama Nemo menemani Dory mencari kampung halamannya.
Bagaimanapun, perjalanan mereka tidak semudah disangka apabila Dory tiba-tiba lupa di mana asal-usulnya dan dalam perjalanan itu, mereka berkenalan dengan lebih ramai hidupan laut seperti paus putih Beluga bernama Bailey, jerung paus bernama Destiny dan juga sotong kurita bernama Hank.
Ternyata konsep Finding Dory ini sama dengan filem sekuel lain yang berusaha untuk menawan hati penonton dengan mengolah jalan cerita agar lebih menarik dan dramatik. Menurut Andrew, dia tidak pernah terlintas untuk mengarah kembali sekuel filem ini selepas mengenangkan kepayahan yang dilalui ketika menghasilkan Finding Demo sebelum ini.
‘Sebenarnya saya tidak menonton filem ini hampir tujuh tahun kerana sudah jemu menontonnya pada 2003. Lagipun hampir empat tahun melalui pengalaman suka duka menyiapkan filem ini saya beranggapan ia tidak perlu diteruskan lagi."
“Bagaimanapun, ketika menonton semula Finding Nemo pada 2011 ketika diminta melihatnya dalam versi 3D, saya tiba-tiba berasa gelisah terhadap kisah Dory dan tidak boleh berhenti berfikir apakah pengakhiran yang akan berlaku kepada Dory?"
“Apa tidaknya, dia masih tidak tahu dari mana asal usulnya dan masalah keperitan hidup yang terpaksa dihadapi akibat menghidap penyakit lupa ingatan. Bertitik tolak dari situ, saya nekad untuk menghasilkan dan mengembangkan plot filem ini. Bagi saya, cerita Dory perlu dinoktahkan supaya tiada tanda tanya yang bermain di fikiran penonton dan juga saya,” katanya.
Menampilkan pelakon ternama yang berpengalaman seperti Ellen DeGeneres sebagai Dory, Albert Brooks (Marlin), Ed O’Neill (Hank), Kaitlin Olson (Destiny), Ty Burrell (Bailey), Idris Elba (Fluke), Diane Keaton (Jenny) dan Eugene Levy (Charlie) ternyata menjadi percaturan hebat kepada Andrew membawa filem ini kembali ke layar perak.
Tambah Andrew, meskipun terdapat watak baru yang dicipta dalam filem berkenaan, namun ia bukan kelainan utama yang cuba ditampilkan bagi menampakkan filem itu berbeza daripada Finding Nemo. “Saya percaya bagi sesetengah individu yang pernah menonton Finding Nemo pasti mereka akan menganggap filem ini adalah yang pertama dan bukan sebuah filem sekuel.
“Sebenarnya saya sengaja berbuat demikian kerana saya mahu ia menjadi sebuah naskhah yang boleh berdiri sendiri. Lagipun saya cuba menambah dan menyuntik elemen positif kepada penonton kerana ia bercerita mengenai kehilangan, penerimaan dan kenali personaliti diri serta berbangga dengan apa yang kita miliki kini."
“Manakala Finding Nemo lebih memfokuskan mengenai ibu bapa yang mencari kekuatan dalam melepaskan anak-anaknya mengambil risiko. Jadi jelas bahawa filem ini berbeza dan mempunyai keistimewaan tersendiri,” katanya.
Sementara itu, Ellen yang membawa watak Dory mengakui terkejut apabila menerima panggilan daripada Andrew mengenai sekuel filem ini. “Beberapa tahun lalu saya pernah mengutarakan di dalam program bual bicara saya, Ellen Talk Show mengapa tidak diterbitkan filem sekuel Finding Demo kerana saya mahu filem hebat ini diteruskan."
“Saya memang sangat gembira apabila Andrew menghubungi dan memberitahu filem itu akan kembali menjengah pawagam. Lebih memeranjatkan, saya diberitahu pula mengenai tajuk filem itu dan ia bercerita mengenai Dory kerana saya hanya berharap Dory sekadar watak sampingan yang hanya dihidupkan untuk memeriahkan jalan cerita itu bukan sebagai bintang utama,” katanya.
0 comments:
Post a Comment