Bumi Syam yang pada satu ketika dahulu menyaksikan kelahiran begitu ramai para nabi dan rasul, hari ini menjadi medan untuk mewujudkan aliran sungai berdarah. Setiap hari, secara puratanya, 20 hingga 70 orang menemui ajal di Syria terutamanya Aleppo akibat perang saudara yang sudah berlanjutan lebih 5 tahun.
Semuanya angkara insiden Arab Spring yang telah menyaksikan beberapa buah negara Arab telah mengalami reformasi pemerintahan. Menariknya, tiada satupun negara yang merasai bahana Arab Spring, dapat hidup aman dan damai. Lihat sahaja apa yang berlaku di Tunisia, Mesir, Libya dan Syria. Nyawa di negara-negara ini seperti sampah yang boleh disepak terajang mahupun dibakar sesuka hati.
Hari ini, disaat rakyat Malaysia terutamanya umat Islam sedang sibuk membicarakan tentang pelbagai isu fitnah yang disebarkan oleh pembangkang, umat Islam di Syria terpaksa berhadapan dengan serangan 6 penjuru. Mereka adalah dari pihak tentera kerajaan Bashar Al Assad, puak penentang Sunni yang digelar FSI, Amerika Syarikat, Rusia, Turki dan Daesh.
Menariknya, Amerika dilihat cukup berminat mencampuri urusan di Syria. Pasti ramai yang tertanya-tanya, apa yang ada pada Syria sehingga Amerika cukup tertarik untuk mencampuri konflik ini? Lebih menghairankan, Rusia yang selama ini agak sibuk menangani pemberontakan di Ukraine, secara tiba-tiba turut masuk campur dalam konflik ini.
Sebenarnya, bukan satu rahsia bahawa hubungan Washington dan Moscow, tidak pernah berada pada keadaan aman sejak berakhirnya zaman Perang Dingin yang berlanjutan lebh 10 tahun pada sekitar tahun 1980an. Walaupun hari ini, Barrack Obama yang dilihat agak lembut cara pemerintahannya, namun hubungan dua hala kedua-dua buah negara kuasa besar ini masih dianggap kurang mesra.
Seperti biasa, Amerika kekal menjulang egonya yang mahu menjadikan seluruh dunia berkiblatkan Washington. Cara penguasaan autokratik ini nyata kurang disenangi Moscow sehingga menyaksikan, Vladimir Putin mula melobi penguasaan ekonomi dan ketenteraan kepada bekas-bekas para penyokongnya semasa era perang dingin.
Secara kebetulan, Syria berhadapan dengan pemberontakan dalaman di mana desakan untuk mewujudkan sistem demokrasi penuh di Damsyik, dihalang sepenuhnya oleh Bashar. Ditambah pula dengan tekanan yang dihadapi oleh penduduk berfahaman Sunni, ianya telah menambah rencah yang membawa kepada konflik perang saudara yang telh mengorbankan hampir 300 ribu orang.
Amerika melihat, andai FSI menguasai Syria, kedudukan Israel yang bersempadanan dengan Syria, mungkin akan terancam. Ini kerana, peranan yang dimainkan Bashar terhadap Tel Aviv sejak sekian lama telah berjaya memastikan Syria tidak langsung diserang oleh tentera Israel walaupun terpaksa mengorbankan Bukit Golan.
Bagi pihak Rusia, Syria adalah medan buat mereka memperagakan sistem pertahanan mereka pada dunia. Rusia tidak teragak-agak menghantar pesawat tempur mereka ke bumi ambiya ini hanya untuk menunjukkan kepada dunia dan Amerika khususnya, tentera Rusia masih bertaring disamping membantu sekutu kuat dan pelanggan tetap persenjataannya.
Ini telah membawa kepada satu lagi era perang dingin yang mungkin akan menyelubungi dunia, seawal-awalnya tahun hadapan. Kenapa tahun hadapan? Obama kini akan menghabiskan bulan terakhir pentadbirannya pada bulan Oktober. Selepas itu, pilihan raya Presiden akan mengambil tempat pada bulan November sebelum kerajaan baru Amerika di bentuk pada bulan Januari tahun hadapan.
Andai Donald Trump mengambil alih Rumah Putih, langkah gila perang yag diamalkan oleh George W Bush pasti akan terjadi terutamanya negara-negara rantau Arab. Jika Hillary yang menguasai Rumah Putih, perang dingin antara Rusia dan Amerika mungkin akan berlaku walaupun secara kasarnya, Demokrat dilihat lebih rasional berbanding Republikan.
Apapun, nasib rakyat Syria di mana sahaja mereka berada, tetap akan jadi taruhan. Hari ini, mereka hidup dalam keadaan penuh kedaifan dengan mengharapkan serangan dari semua pihak akhirnya tamat. Syria, bukan lagi seperti yang kita lihat 10 tahun yang lalu. Keadaannya cukup dahsyat dimana ada diantara penduduknya mengungkapkan ayat, "Selamat Datang ke Neraka" kepada semua wartawan dan pelawat yang meninjau keadaan semasa di Syria, terutamanya Aleppo.
0 comments:
Post a Comment