My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday, 24 September 2016

    20 Saman Dikeluarkan DBKK Ekoran Masalah Sampah




    Sebanyak 20 saman dikeluarkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kepada penghuni bangunan Fu Yen Jalan Padang, di sini kelmarin ekoran isu pembuangan sampah sarap di sekitar kawasan berkenaan. 

    Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Joannes Solidau berkata, ia berikutan penghuni bangunan membuang sampah sarap ke bawah sehingga menyebabkan sampah tersangkut dan terkumpul di bawah kanopi yang menjadi penghubung antara bangunan.

    “Kita sudah buat pembersihan banyak kali sehingga kita menegur dan mengenakan kompaun tetapi tiada perubahan dan mereka tetap meneruskan untuk membuang sampah. Atas kesedaran inilah kita ambil tindakan tegas mendapatkan kebenaran dari mahkamah untuk mengeluarkan notis saman kepada semua penghuni bangunan hari ini (kelmarin) agar mereka tampil untuk pembicaraan di mahkamah pada 21 Oktober depan jam 9 pagi,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa operasi pemeriksaan kebersihan di bangunan Fu Yen Jalan Padang, di sini kelmarin. Tambah Joannes, tindakan itu juga bertepatan dengan usaha membanteras penularan wabak Zika dan denggi yang mana tempat itu berpotensi menjadi pusat pembiakan nyamuk aedes.

    Mengulas isu lain, DBKK juga akan mengambil tindakan kepada pemilik sewa di bangunan itu berikutan tidak mengehadkan bilangan penghuni dalam satu rumah. Katanya, pemilik rumah di bangunan itu sudah sedia maklum bahawa setiap rumah haruslah memiliki dua bilik sahaja mengikut jumlah kemudahan yang disediakan.

    “Kita sudah mengambil tindakan merobohkan dinding yang dibina melebihi kapasiti yang ditetapkan, namun mereka tetap berdegil dan menggantikan dengan tabir kain sebagai dinding. Pemilik rumah seharusnya bertanggungjawab berkaitan hal ini dan sekurang-kurangnya perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap, menjaga kebersihan dan mengawal bilangan penghuni,” jelasnya. Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKK Abdul Mukti Muchlish.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: 20 Saman Dikeluarkan DBKK Ekoran Masalah Sampah Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top