Agak menghairankan apabila pada satu ketika, Mahathir dan Muhyiddin kerap melaungkan, apa yang mereka lakukan adalah untuk menyelamatkan UMNO dari terus menjadi parti untuk Najib. Namun, setelah pelbagai gerakan dan usaha dilakukan, kesemuanya menemui kegagalan termasuklah menghasut ahli UMNO untuk tidak lagi taat kepada pemimpin seperti lazimnya.
Setelah menubuhkan PPBM, antara langkah awal yang diambil adalah mengambil seberapa banyak ahli dan seterusnya cuba menjalinkan kerjasama dengan pakatan pembangkang. Memandangkan PRU ke 14 semakin hampir, antara perkara asas yang cuba diselesaikan adalah, koordinasi calon-calon yang bakal bertanding bagi menentang UMNO dan BN.
Timbul persoalan, adakah PPBM masih mampu bertahan selepas berakhirnya PRU 14? Adakah PPBM masih mampu bertahan setelah penasihatnya tiada lagi di muka bumi ini?
Jika disoroti penubuhan parti berasaskan nafsu amarah dan kemaruk kuasa di Malaysia hari ini, hanya PKR dan PAS sahaja yang masih kekal bernafas setelah bertindak menjadi parti serpihan daripada UMNO. PAS seperti sedia maklum, menjadikan isu agama sebagai paksi perjuangan parti mereka. Bagi PKR pula, agenda meletakkan Anwar selaku Perdana Menteri dan menumbangkan UMNO sememangnya kekal dalam ingatan setiap ahli PKR.
Bagi PPBM pula, selain tidak mempunyai falsafah perjuangan yang konkrit, penubuhan parti ini bolehlah disamakan dengan apa yang berlaku terhadap Semangat 46. Persamaan antara dua-dua parti ini adalah, ianya ditubuhkan berikutan rasa kurang senang pemimpin berkenaan dengan Presiden UMNO.
Seperti biasa, bila merasakan tidak puas hati, pelbagai sumpah seranah termasuk sanggup menghasut orang lain untuk bersama-sama dengan mereka menentang kepimpinan parti. Pelbagai azam diterapkan untuk menjadi parti baru mereka sebagai lebih baik dari parti induk.
Namun, apabila memasuki medan sebenar tanpa sokongan yang pernah mereka terima semasa di dalam UMNO, mereka akan sedar, sukar untuk mengatasi permainan hebat politik pembangkang dan secara perlahan-lahan akan ditenggelamkan oleh kekuataan yang ada pada pembangkang dan kerajaan.
Sebagai contoh, lihat sahaja komitmen yang diberikan oleh PKR, DAP dan PAN yang masing-masing berkeras mahu mengekalkan atau menambah kerusi yang bakal mereka tandingi. Di mana pula kerusi yang bakal diperuntukkan kepada PPBM? Tidak mustahil, andai kemelut merebut kerusi ini berterusan, PPBM mungkin akan berhadapan dengan saingan 3 hingga 5 penjuru.
Ia berlawanan sekali dengan hasrat Mahathir yang mahu semua kerusi mempertandingkan 1 lawan 1. PKR, DAP dan PAN pastinya enggan memberi peluang kepada parti baru ini untuk bertanding di kubu mereka. Pastinya, PPBM secara perlahan-lahan terpaksa menerima hakikat, kemunculan parti mereka seolah-olah mengganggu sistem politik pembangkang sedia ada.
Oleh yang demikian, sebaik sahaja PRU 14 melabuhkan tirainya, Mahathir bersama-sama anak buahnya akan terfikir, selain daripada misi menumbangkan UMNO, mereka juga harus sama menumbangkan PKR, DAP dan PAN untuk menjadikan mereka kuat. Menyedari akan hakikat ini, secara perlahan-lahan PPBM akan berkubur, sama seperti yang dialami oleh Semangat 46.
0 comments:
Post a Comment