Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) bersetuju dengan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) untuk tidak melanjutkan pembiayaan pembelian perumahan melebihi 35 tahun bagi mengelakkan peningkatan hutang isi rumah negara.
Semalam, BNM menyatakan tempoh pembiayaan perumahan sehingga 35 tahun adalah mencukupi untuk peminjam melangsaikan pembiayaannya sehingga usia maksimum persaraan iaitu 60 tahun.
Presidennya, Datuk Seri FD Iskandar berkata, tempoh pinjaman selama 35 tahun adalah sesuatu yang boleh diterima kerana jika jangka masa itu dipanjangkan, ia boleh menjadi satu beban kepada peminjam.
Beliau berkata, walau bagaimanapun struktur pinjaman perumahan boleh dikaji semula dengan meneliti model diguna pakai di beberapa negara lain yang membolehkan penyertaan ibu bapa pembeli sebagai penjamin untuk tempoh lima hingga 10 tahun pertama pinjaman.
"Terdapat mekanisme sedemikian yang boleh kita teliti dan sudah pun dilaksanakan oleh negara lain. Ia adalah antara langkah yang perlu kita kaji. Namun, saya merasakan apa yang dikatakan oleh BNM adalah munasabah," katanya selepas menghadiri mesyuarat agung tahunan (AGM) Glomac Bhd di sini, hari ini.
FD Iskandar yang juga Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac mengumumkan kumpulannya mencatatkan peningkatan hasil 1.3 peratus kepada RM171.7 juta pada tahun kewangan berakhir 30 April 2016 berbanding RM169.5 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
0 comments:
Post a Comment