Sudah lebih dua tahun, sejak pesawat Malaysia Airlines, MH370 dilaporkan hilang dari radar sewaktu dalam perjalanan menuju ke Beijing, China dari Kuala Lumpur International Airport (KLIA) pada 8 Mac 2014. Sejak dari itu, kehilangan pesawat berkenaan terus menjadi misteri walaupun usaha pencarian telah digerakkan untuk menjejaki tempat terakhir pesawat berkenaan mendarat.
Menerusi satu kenyataan dari Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dijangka dapat ditemukan dalam kawasan carian 10,000 kilometer persegi terakhir di Lautan Hindi berdasarkan teori drift yang digunakan dan lokasi penemuan serpihan-serpihan pesawat terbabit.
Menurut beliau, pasukan pencarian sebelum ini telah melengkapkan pencarian di kawasan seluas 110,000 kilometer persegi daripada 120,000 kilometer persegi dan operasi carian dijangka selesai pada Disember ini.
Ujarnya lagi, pihaknya berharap pesawat MH370 dapat ditemukan di kawasan pencarian dalam tempoh terdekat ini. Lokasi pencarian yang dilakukan berada di kedudukan yang betul berdasarkan teori drift yang digunakan dan melihat kepada lokasi penemuan serpihan pesawat sebelum ini.
Sehingga kini menurut beliau, sejumlah 22 serpihan telah ditemukan di Afrika Selatan, Mozambique, Mauritius dan Tanzania dengan dua serpihan disahkan milik MH370, manakala empat lagi hampir pasti disahkan milik pesawat berkenaan. Semua serpihan yang ditemui itu telah dihantar ke Australia untuk dianalisis dan disahkan.
Pastinya semua ujian yang dijalankan akan memakan masa. Sebagai contoh, penemuan serpihan sayap di Tanzania sebelum ini memakan masa dua bulan untuk disahkan. Apabila sesuatu serpihan ditemui, negara-negara lokasi penemuan itu akan mengesahkan terlebih dahulu sama ada ia merupakan serpihan pesawat sebelum menyerahkannya kepada pasukan penyiasat.
Dalam perkembangan yang sama, beliau turut menegaskan hubungan dan kerjasama antara Malaysia, China dan Australia dalam mencari pesawat terbabit sangat baik terutama dalam perkongsian teknologi pencarian dan maklumat.
“Operasi pencarian dan siasatan kemalangan dilakukan dengan telus dan bertanggungjawab. China memberikan sokongan kuat kepada kita untuk melaksanakan dan melakukan operasi ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment