My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 30 September 2016

    Lelaki Mexico Selamatkan 210 Haiwan Liar



    EDUARDO SERIO, 35, rakyat Mexico. Beliau merupakan seorang ahli perniagaan yang tinggal di Los Angeles, California, Amerika Syarikat. Kisah hidupnya berubah sekelip mata apabila membuat lawatan ke Monterrey, Mexico pada bulan Oktober tahun 2013. 

    Semasa di Monterrey, Eduardo menerima panggilan daripada sepupunya yang juga seorang pakar haiwan serta berpengalaman lebih 25 tahun. Sepupunya melahirkan kekecewaan kepada Serio bahawa seekor anak jaguar hitam diberi nama Cielo akan diberi kepada seorang pemilik kedai haiwan peliharaan untuk kepentingan peribadi bagi meraih pendapatan.

    Namun, Serio yang sentiasa percaya kesaksamaan dan perlindungan sewajarnya perlu diberi kepada semua makhluk. Sehubungan itu, dia mengambil cabaran menyelamatkan Cielo daripada menjadi mangsa eksploitasi manusia. Rentetan daripada peristiwa itu, tertubuhnya Yayasan Jaguar Hitam,
    Harimau Putih yang diusahakan Serio sendiri.

    Yayasan itu merupakan tempat perlindungan yang memelihara harimau liar dengan menyelamatkan mereka daripada zoo, sarkas, penternak haram dan termasuk daripada individu yang menerima mereka sebagai haiwan kesayangan.

    “Saya mahu menyampaikan mesej kepada semua orang di seluruh dunia bahawa haiwan bukan harta benda. Anda tidak boleh mengatakan, ‘Saya mahu harimau itu, berapa harganya?’

    “Mereka bukan kereta, rumah, atau pakaian juga perkara-perkara materialistik. Mereka juga makhluk hidup seperti anda, ibu, anak, isteri anda dan sebagainya. Malah, mereka tidak boleh diletakkan setara dengan wang, ketamakan atau kuasa,” ujar Serio, Pengasas Yayasan Jaguar Hitam, Harimau Putih. 

    Apabila anak-anak kita membesar kelak, tidak akan ada lagi singa dan harimau atau haiwan yang berjalan jika kita tidak menyokong mereka, menjaga dan menyelamatkannya. Kini, dengan bantuan rakan-rakan setia dan jutaan peminat yang setia di seluruh dunia, yayasan ini telah menyelamatkan dan menjaga lebih 210 ekor haiwan liar termasuk jaguar, harimau bintang, singa, harimau, kucing liar dan kugar.

    Kesemua haiwan berkenaan diselamatkan daripada kehidupan penyalahgunaan dalam pertunjukan sarkas, zoo dan penternak termasuklah orang-orang yang mempunyai lesen sah dan tidak sah. Yayasan ini juga telah menyelamatkan lebih daripada 20 ekor anjing yang kebanyakannya anjing jalanan.

    Suara

    Malah, Serio kini mempunyai projek bersama kerajaan Mexico untuk mengeluar dan memperkenalkan semula habitat spesies terancam burung dan melepaskan semula ke habitat semula jadi mereka. Meskipun yayasan berkenaan belum mengumumkan secara rasmi tetapi program itu cukup luar biasa dan sudah menunjukkan keputusan yang memberangsangkan.

    Serio berharap dengan menjadi duta untuk haiwan ini, lebih ramai orang akan mendapat inspirasi untuk merawat haiwan peliharaan dengan kasih sayang dan belas kasihan serta menjadi suara yang mereka impikan. Visinya ialah mahu menggalakkan orang ramai menjadi suara untuk haiwan, kerana dia percaya hak-hak mereka diambil.

    Haiwan-haiwan ini tidak boleh menyuarakannya kerana mereka hanyalah haiwan bukannya manusia. Kini, Serio telah menjalankan beberapa peringkat pemulihan untuk haiwan-haiwannya dan telah mendedikasikan lebih 1,214 hektar ladang miliknya yang bakal menjadi habitat terakhir mereka. 

    Menurutnya, haiwan tidak boleh dikembalikan ke hutan kerana mereka tidak dilahirkan di dalam habitat semula jadi. Malah, habitat semula jadi mereka pula semakin berkurangan setiap hari akibat penebangan hutan.

    Jelasnya lagi, dia tidak mahu ‘orang bodoh’ memburu dan membunuh mereka, kemudian menjual bahagian-bahagian tertentu haiwan berkenaan untuk tujuan perubatan dan kepentingan peribadi semata-mata.

    Diserang

    “Kami tidak akan membiak haiwan yang diselamatkan jika kita tidak mampu kembalikannya ke habitat semula jadi mereka. Hal ini kerana mereka lahir dan kini hidup dalam kurungan. Malah, kami telah mendapati bahawa lebih banyak haiwan yang tinggal bersama dalam satu kumpulan, mereka akan lebih bahagia walaupun berlainan spesies,” kongsinya.

    Katanya, perkara berkenaan tidak akan berlaku sama sekali di hutan, justeru dapat melakukannya di pusat perlindungan haiwan sudah cukup bermakna baginya. Jika harimau bintang dan singa boleh hidup bahagia tinggal dalam satu kumpulan yang sama, maka tidak mustahil bagi manusia untuk melakukan perkara yang sama.

    Menurut laporan Daily Mail Online, Serio hampir diserang oleh harimau bintang bernama Dharma yang ketika itu dia sedang leka bermain-main dengan beberapa ekor singa di zoo Yayasan Jaguar Hitam, Harimau Putih.

    Bagaimanapun, dia diselamatkan oleh Aztlan, seekor harimau yang ketika itu duduk berdekatan dengannya, lantas menyambar Dharma dan mengalahkan haiwan tersebut dengan kaki dan badannya. Situasi berkenaan disedari oleh Serio.

    Belum sempat mengelak daripada dicapai Dharma, kemudian dia memberi satu tamparan amaran kepada Dharma bagi memberitahu bahawa dirinya adalah penjaganya serta mengucapkan terima kasih kepada Aztlan kerana menolongnya.

    “Perkara berkenaan adalah biasa dalam rutin harian dalam menjaga mereka, risikonya tetap ada tetapi saya percaya bahawa haiwan-haiwan di sini menyayangi saya sebagai tuan mereka,” kata Serio. 

    Dalam pada itu, Serio mengatakan bahawa terdapat tiga faktor paling penting untuk kejayaan penubuhan yayasan yang diusahakan iaitu kecintaannya terhadap haiwan, iPhone dan Instagram miliknya.

    Akaun Yayasan Black Jaguar White Tiger (@blackjaguarwhitetiger) dibuka kepada orang ramai sejak bulan Ogos 2014. Dalam tempoh masa kurang daripada 24 jam, yayasan itu menerima hampir 3,000 pengikut baharu. Sehingga kini, yayasan berkenaan memiliki lebih 5.7 juta orang pengikut dan ia adalah akaun kedua paling banyak ditonton di dunia di Instagram selepas Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan (NBA).

    Pihaknya turut menggunakan Facebook, platform yang menyediakan siaran live streaming menunjukkan interaksi Serio secara langsung dengan haiwan. Selain itu, live streaming itu memberi peluang orang ramai mengetahui keseluruhan operasi harian yayasan itu.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Lelaki Mexico Selamatkan 210 Haiwan Liar Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top