Selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri dibaham buaya menggunakan kaedah pencarian permukaan gagal, kini teknologi dron pula digunakan oleh pasukan pencari.
Tiada petunjuk positif selepas tiga hari operasi SAR dijalankan di Sungai Samarahan, di sini, bagi mencari Ismandi Osman, 38, yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu. Difahamkan, pasukan SAR turut terserempak dengan sang bedal di sungai berkenaan ketika operasi dijalankan di sekitar lokasi kejadian.
Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Bahagian Samarahan Ahmad Shahfikri Darus berkata, penggunaan teknologi dron membolehkan operasi pencarian dapati dijalankan secara lebih meluas dan mudah. Menurutnya, selain itu, ia dilihat lebih efektif mendapatkan petunjuk baru bagi mengesan mangsa yang masih gagal ditemui selepas tiga hari operasi pencarian dijalankan.
“Operasi SAR menjadi lebih efektif berdasarkan pengalaman sebelum ini menggunakan dron selain dapat mengurangkan risiko kepada pasukan pencarian. Berdasarkan beberapa petunjuk, kita tidak menolak kemungkinan mangsa dibaham buaya kerana mayatnya masih tidak ditemui selepas tiga hari dilaporkan hilang,” katanya.
Katanya, lokasi mangsa dilaporkan hilang tidak jauh dari tempat seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dibaham buaya di Kampung Baru, di sini. Dalam kejadian Jumaat lalu, Ismandi Osman, 38, didapati hilang ketika memeriksa pukatnya di sungai berkenaan.
0 comments:
Post a Comment