My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 27 September 2016

    Petronas Pendahulu Teknologi


    Sukan Formula Satu (F1) sememangnya medan dan platform penting bagi setiap produk untuk mendapat liputan terbesar dalam siaran media global bagi kepentingan pemasaran jenama menerusi pelbagai logo yang menghiasi setiap jentera pasukan bertanding. 

    Untuk meletakkan jenama pada bahagian utama kenderaan itu dianggarkan nilainya sekitar RM9 juta semusim dilaburkan dan sudah pasti kos yang setinggi itu perlu mempunyai pakej yang memberi kelebihan untuk setiap penaja mendapat pulangan berganda.

    Melihat akan situasi itu selain kelebihan dalam bentuk liputan atau pening­katan jualan, pertukaran atau perkongsian teknologi menjadi elemen utama untuk setiap produk ke tahap pencapaian yang lebih tinggi.

    Contoh terbaik ialah Pasukan Mercedes AMG Petronas F1 yang muncul juara perlumbaan dan kategori pengeluar untuk dua musim berturut-turut pada 2014 dan 2015, bakal mencatatkan kejuaraan ketiga mereka untuk musim ini hasil daripada pendekatan perkongsian teknologi pintar dengan kelebihan pemandu pasukan iaitu Nico Rosberg dan Lewis Hamilton beraksi cemerlang.

    Sebagai rakyat Malaysia, kita harus berbangga kerana di sebalik kejayaan itu ialah jenama petroleum nasional kita menjadi penaja utama yang membawa nama Petronas dan Malaysia dikenali di pentas antarabangsa selain bekalan minyak enjin dan bahan api yang digunakan ketika perlumbaan. 

    Pembabitan Petronas dalam F1 bermula sejak 1995 bersama pasukan Red Bull-Sauber Petronas F1, BMW Sauber F1 (2005) dan kerjasama pasukan Mercedes bermula pada 2010. Tidak sekadar meletakkan logo di badan kereta, pembabitan mereka adalah sebagai rakan teknikal yang menyeluruh bermula daripada kajian mekanikal minyak enjin dan bahan api sehingga ke penghasilan unit kuasa dan reka bentuk kereta.

    Penulis berpeluang melihat lebih dekat keseluruhan teknologi dan kejuruteraan pasukan F1 itu sempena program Petronas Formula One Media Familiarisation di Itali dan London, baru-baru ini dan ia memberi gambaran penuh akan usaha serta komitmen serta keberhasilan Petronas terhadap sukan permotoran nombor satu dunia ini.

    LOJI PETRONAS LUBRICANTS INTERNATIONAL DI ITALI

    Terbabit sebagai rakan teknikal pasukan, Petronas Lubricant International (PLI) yang terletak di Turin, Itali bukan sahaja menghasilkan minyak enjin dan pelincir. juga memiliki makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk tujuan perlumbaan serta kegunaan di jalan raya.

    Kilang yang berusia 100 tahun itu adalah milik FL Selenia yang menghasilkan minyak enjin kenderaan Fiat sebelum diambil alih oleh Petronas pada 2008 dan menjadi pemegang hak milik jenama minyak itu untuk pasaran antarabangsa.

    PLI Itali mempunyai 1,200 pekerja yang mampu menghasilkan 100,000 tan metrik minyak enjin dan pelincir setahun dengan kapasiti penyimpanan melebihi 12,000 produk pada satu-satu masa.

    Ia juga menghasilkan produk OEM untuk pasaran terbuka termasuk ujian terhadap enjin dan kini pelaburan mereka tertumpu kepada kemudahan infrastruktur, latihan dan sistem dalam menjadikan antara jenama yang termaju untuk mencapai kedudukan 5 teratas dalam pasaran global menjelang 2020.

    Ini termasuk pembinaan bangunan pusat R&D serba moden yang bakal siap menjelang 2017 untuk digunakan sebagai hab pembangunan teknologi dengan fasiliti terkini bertaraf dunia. Selain kenderaan penumpang, mereka juga menghasil­kan minyak untuk kegunaan motosikal, kenderaan komersial, pertanian, pembinaan serta industri dan fungsian automotif.

    PLI juga mempunyai kilang pengeluaran di Afrika Selatan, Sudan, Belgium, Sepanyol, China dan Malaysia serta pejabat pemasaran di 23 negara, menjadikan pasaran jenama Petronas dikenali di lebih 80 negara.

    IBU PEJABAT PASUKAN MERCEDES AMG PETRONAS F1 DI BRACKLEY, UK

    Terletak lebih 100 kilometer di utara London, pihak media dibawa melawat ibu pejabat pasukan Mercedes AMG Petronas F1 di Brackley untuk melihat lebih dekat kerja belakang tabir sebuah pasukan Formula Satu. Berkeluasan 60,000 meter persegi, ia asalnya adalah lokasi pasukan Brawn GP yang menjuarai Kejuaraan F1 musim 2009 sebelum diambil alih oleh Mercedes-Benz.

    Beroperasi sejak 1999, mereka menyediakan kemudahan moden untuk rekaan dan pembangunan jentera F1 termasuk terowong angin yang diberi pembaharuan pada 2012 untuk ujian aerodinamik. 

    Beroperasi 24 jam sehari membabitkan 700 pekerja dengan lima syif, lebih 200 jurutera melakukan rekaan kenderaan perlumbaan dengan 250,000 jam khusus untuk menghasilkan rekaan kereta lumba Formula Satu dan 200,000 jam seterusnya pula untuk proses penghasilan.

    Uniknya konsep dan situasi kerja di situ semuanya diletakkan di satu lantai yang sama, bertujuan memudahkan semua urusan perbincangan dan komunikasi dalam mencipta kereta lumba yang semestinya aerodinamik, ringan dan pantas.

    Di Brackley, sepasukan jurutera akan berkomunikasi secara dalam talian dengan kru di setiap lokasi perlumbaan pasukan itu di seluruh dunia dalam menganalisis prestasi enjin dan teknikal, yang mana mereka dibantu sistem yang boleh memuat turun segala maklumat itu dalam tempoh lima saat sahaja.
    Ada tempat pembuatan kerangka badan hasil gabungan bahan karbon serta makmal ujian enjin dan transmisi semuanya boleh dianalisis secara terperinci. Namun lebih penting, kerjasama ini turut membuka peluang pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) untuk menjalani latihan industri di sini setiap tahun sebagai pendedahan yang bernilai untuk perkembangan karier mereka kelak. 

    MERCEDES AMG HIGH PERFORMANCE POWERTRAIN DI BRIXWORTH, UK

    Pusat penghasilan unit kuasa (powertrain) terletak di Brixworth yang memulakan operasi sejak 1984 di bawah syarikat Ilmor Engineering Ltd, adalah nadi utama setiap jentera perlumbaan yang bersaing dalam F1. Pada 2002 ia dijenamakan sebagai Mercedes-IImor Ltd dan tiga tahun kemudian diambil alih oleh Daimler AG dan beroperasi menggunakan nama Mercedes-Benz High Performance Engines Ltd.

    Sejak 1995, lokasi ini bertanggungjawab menghasilkan setiap enjin Mercedes-Benz yang bersaing dalam perlumbaan F1 dengan kini lebih 500 jurutera terbabit dalam penghasilan rekaan serta menguji teknologi unit kuasa hibrid pasukan seperti Mercedes AMG Petronas, Williams F1, Lotus F1 dan Sahara Force India F1.

    Daripada peringkat konsep, rekaan, pembuatan dan pemasangan, ujian dan analisis enjin dilakukan di sini dengan teras utama iaitu kualiti, kecemerlangan teknikal dan kelajuan serta fleksibiliti sebagai objektif utama mereka.

    Enjin yang dihasilkan sebelum ini seperti V10 dan V8 berjaya menggondol 90 kejuaraan Grand Prix dan pelbagai anugerah turut diterima antaranya seperti Piala Dewar untuk Kecemerla­ngan Teknikal pada 2009 bagi kejayaan Sistem Pemulihan Tenaga Kinetik (KERS) yang juga enjin hibrid pertama menjuarai GP Hungary pada 2009.

    Untuk pasukan Mercedes AMG Petronas, sebanyak lima enjin berkuasa 1.6 liter dicas turbo V6 hibrid disediakan sepanjang musim yang akan digunakan mengikut keperluan sama ada untuk sesi latihan atau perlumbaan.

    Sememangnya binaan unit kuasa di Brixworth terbukti kejayaan perlumbaan diperoleh sejak 2009 dan kini bergabung dengan bahan api daripada Petronas Primax adalah pakej lengkap meneruskan kesinambungan kecemerlangan mereka dalam industri ini.

    “Penghasilan unit kuasa Mercedes AMG Petronas berjaya dibuktikan dalam perlumbaan apabila muncul juara perlumbaan dan kategori pengeluar F1 musim 2014 dan 2015,” kata Pengarah Urusan Mercedes AMG High Performance Powertrains, Andy Cowell.

    “Di ibu pejabat Mercedes AMG Petronas F1, kami senantiasa komited menambah baik teknologi dalam perlumbaan serta menyediakan kemudahan dengan fasiliti termoden untuk memastikan jentera yang pantas dan muncul juara,” kata Ketua Sukan Permotoran Mercedes-Benz, Toto Wolf.

    “Petronas Lubricant International tidak sahaja menghasilkan produk minyak enjin dan pelincir, juga sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan untuk kegunaan pasukan F1,” kata Ketua Grup, Teknologi dan Penghasilan Projek, Petronas Lubricants Internatinal, Eric Holthusen.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Petronas Pendahulu Teknologi Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top