My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 23 September 2016

    SUV Kompak Urban


    Baru-baru ini kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak Volvo XC60 mendapat pengiktirafan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV) untuk pasaran Malaysia. Ini tidak sahaja memberi peluang untuk lebih ramai pengguna memiliki sebuah Volvo kerana penurunan harga dengan insentif yang diterima, malah pada masa sama mendapat jentera yang jimat penggunaan bahan api. 

    Penulis berkesempatan memandu uji kenderaan ini yang dijana dengan enjin varian T6 sejak berada di pasaran Malaysia pada hujung 2014. Melihat pada rekaan luaran kenderaan ini, ia antara model Volvo yang mendapat sentuhan ciri terkini sesuai untuk mereka yang mempunyai gaya hidup aktif untuk laluan lasak sederhana dan pada masa sama kelihatan mantap ketika di bandar.

    Didorong enjin 2.0 liter empat silinder, powertrain Drive-E yang memberi kuasa bertenaga dan jimat penggunaan petrol serta mengeluarkan emisi karbon dioksida lebih rendah.

    Sesuai sebagai kenderaan cekap tenaga, ia tidak langsung mengorbankan aspek prestasi apabila dilengkapi dengan transmisi automatik 8 kelajuan Geartronic dan shift lock termasuk pedal penukar gear di stereng memberikan gaya sporty.

    Memandunya sama ada di jalan biasa atau lebuh raya memberikan kelancaran tenaga berterusan dengan bekalan kuasa kuda 306hp pada 5,700rpm serta tork 400Nm pada 2,100rpm hingga 4,500rpm sudah cukup untuk memintas kenderaan lain tanpa perlu menekan pedal terlalu agresif.

    Paling mencuri tumpuan ialah sistem keselamatan aktif yang dibekalkan untuk setiap model kenderaan Volvo dan tidak terkecuali model XC60 ini apabila mempunyai pelbagai elemen keselamatan untuk perlindungan pemandu serta penumpang pada tahap maksimum.

    Ciri-ciri itu termasuk beg udara dua peringkat, Sistem Perlindungan Impak Sisi (SIPS), Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC), Amaran Perlanggaran dan Keselamatan Bandar dengan brek automatik penuh yang direka untuk mengelakkan daripada terlanggar belakang kereta pada kelajuan 50km/j. 

    Selain itu Kawalan Penarikan dan Kestabilan Dinamik (DSTC) mempertingkatkan prestasi ketika memandu di selekoh tanpa dapat berasakan goyangan ketara dan pada masa sama meningkatkan keyakinan pemanduan.

    Ruang dalaman tidak sahaja menawarkan keselesaan terutama kerusi pemandu dengan pelarasan elektronik daripada balutan kulit malah pelbagai guna dengan kerusi belakang boleh dilipat untuk menjadikan ruang 40/20/40 bagi membawa tujuan membawa lebih muatan.

    Sistem audio dengan 8 pembesar suara memberikan bunyi yang enak didengar dengan skrin berwarna bersaiz 7 inci untuk paparan maklumat berkaitan termasuk penghubung USB dan Ipod tersedia. 

    Secara keseluruhannya, XC60 T6 memberikan anda kepuasan pemanduan dengan elemen keselamatan tertinggi selain enjin drive-E memberikan penggunaan bahan api tidak sahaja efisien malah dapat mengurangkan pencemaran udara dengan emisi rendah.

    Enjin yang dijana kuasa 2.0 liter berprestasi dibina daripada material ringan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 201 km/j dan mencatatkan sekitar 7.6 liter untuk 100km bergantung pada corak pemanduan anda.

    INFO VOLVO XC60 T6

    - ENJIN: 1,969 cc, 4 silinder Drive-E
    - KUASA MAKSIMUM: 306hp pada 5,700 rpm
    - TORK MAKSIMUM: 410 Nm pada 2,100 hingga 4,500 rpm
    - TRANSMISI: 8 kelajuan automatik Geartronic
    - CIRI-CIRI KESELAMATAN: Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC), Kawalan Penarikan dan Kestabilan Dinamik (DSTC), Sistem Maklumat Titik Buta (BLIS) dengan Amaran Lintasan Trafik (CTA), sistem brek anti-kunci (ABS), Sistem Maklumat Pemandu Pintar (IDIS), Bantuan Brek Hidraulik (HBA).
    - HARGA: RM298,888 atas jalan tanpa insurans (selepas insentif EEV)
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: SUV Kompak Urban Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top